JOHOR BAHRU: Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan tidak mengurangkan peranan dimainkan gabungan itu sebagai pembangkang di negara ini.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, MoU berkenaan ditandatangani PH demi kesejahteraan rakyat khususnya yang sedang terkesan akibat pandemik Covid-19 ketika ini.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak mengambil pendekatan berlembut tetapi sebaliknya lebih bersemangat melawan perkara yang dilihat berunsur ketidakadilan.
“MoU yang ditandatangani ini menaikkan lagi semangat kami untuk melawan perbuatan salah seperti rasuah, penyelewengan dan ketirisan.
“Sebagai pembangkang, PKR dan pastinya rakan komponen dalam PH mesti terus menjalankan tanggungjawab yang telah diberi,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Jelajah Peduli anjuran PKR Johor, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE