Mora pertahan keputusan tidak turunkan Bergson - Utusan Malaysia

Mora pertahan keputusan tidak turunkan Bergson

PEMAIN sayap JDT, Arif Aiman Hanapi berjaya melepasi pemain pertahanan PJ City, Kannan Kalaiselvan dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan harimau tidak bergigi apabila turun tanpa kelibat mesin gol, Bergson Da Silva ketika mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, malam kelmarin.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Selatan mempamerkan aksi hambar dan di bawah tahap sebenar pasukan setelah tidak banyak aksi menarik yang boleh diperkatakan, selain gol cantik jaringan Gonzalo Cabrera hasil rembatan jarak jauh pada minit ketiga.

Hazwan Bakri yang banyak menghabiskan masa memanaskan bangku simpanan musim ini dilihat gagal memangku tugas Bergson dengan baik apabila tiada percubaan bahaya dilakukannya.

Bagaimanapun, jurulatih JDT, Benjamin Mora tetap mempertahankan keputusannya yang tidak meletakkan Bergson dalam senarai pemain dan menjadikan sistem penggiliran sebagai alasan penyerang kelahiran Brazil itu diketepikan.

Mora menegaskan dia sangat berpuas hati dengan persembahan pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya mengekalkan rentak kemenangan untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman JDT.

“PJ City membuktikan mereka mampu menyaingi JDT menjadikan permainan di tahap intensiti tinggi. Nasib kami baik apabila memperoleh gol jaringan dari luar kotak penalti setelah berdepan kesukaran untuk merobek benteng pertahanan lawan.

“Apa yang mustahak di sini ialah kita berjaya mengutip mata penuh dan saya sangat berpuas hati dengan aksi pemain. 

“Bagi saya, kepuasan diukur bukan di atas berapa dijaringkan tetapi tentang memberikan segalanya atas padang, mempamer persembahan terbaik dan mengikut arahan taktikal yang dirancang.

“Ada masanya kita menang dengan jaringan besar dan ada masanya tidak. Jadi, bagi saya tidak ada bezanya menang 1-0 dengan menang 10-0, kita tetap mengutip tiga mata penuh,” katanya.

Sejak membuat penampilan pertama ketika menentang UiTM FC pada aksi Liga Super, 13 Mac lalu, Bergson tidak pernah diketepikan dari sebarang perlawanan dan telah menjaringkan 23 gol dalam 20 penampilan liga.

Penyerang berusia 30 tahun itu hanya tidak disenaraikan pada perlawanan kedua menentang Nagoya Grampus dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Julai lalu.

Ditanya mengenai tindakan drastiknya apabila tidak meletakkan ayam tambatannya ketika berdepan lawan sukar seperti PJ City, Mora tidak memberikan jawapan yang konkrit berhubung tindakannya itu.

“Ini kerana kami mempunyai ramai pemain dan sekarang adalah giliran Bergson tidak dapat diturunkan. Tidak ada perkara istimewa dengan tindakan itu.

“JDT ada 33 pemain kesemuanya dalam skuad utama dan bukan mudah untuk memberi minit permainan kepada semua pemain. Oleh itu, penggiliran pemain perlu dilakukan dan ia mestilah berdasarkan prestasi semasa pemain ketika itu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya