PETALING JAYA: Syarat yang ketat berikutan mempunyai rekod pinjaman kurang baik menjadi penghalang kepada peniaga kecil yang terjejas untuk memohon pinjaman bagi menjana semula pendapatan ketika pandemik Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Persatuan Peniaga Melayu Johor, Nasser Yusof berkata, cadangan kerajaan untuk memberikan bantuan seperti pinjaman kepada peniaga kecil dilihat bagus. Namun, syarat ditetapkan oleh institusi pembiayaan menjadi penghalang.
Katanya, kerajaan perlu mengadakan perbincangan bersama institusi pembiayaan untuk melonggarkan syarat pinjaman, dalam usaha memberi peluang kepada peniaga kecil menjana semula pendapatan mereka ketika pandemik Covid-19.
“Isunya bukan terhadap kerajaan, tetapi kepada pihak yang memberikan pinjaman. Mereka meletakkan pelbagai syarat sehingga menutup peluang peniaga kecil untuk memohon pinjaman.
“Oleh itu, pihak kerajaan bersama pihak pemberi pinjaman perlu bekerjasama untuk membantu peniaga kecil yang terjejas dengan memberi kelonggaran terhadap syarat pinjaman,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk melihat bagaimana kerajaan boleh menyalurkan modal permulaan perniagaan untuk golongan peniaga kecil.
Kerajaan menyedari bantuan secara one off sebelum ini bagi perniagaan kecil dan sederhana hanya memadai untuk mereka meneruskan kehidupan tetapi tidak mampu meningkatkan pendapatan perniagaan mereka.
Menurut Setiausaha Agong Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sharin Darus, pihaknya berbesar hati sekiranya kerajaan dapat membantu memberikan pinjaman tanpa faedah dan tempoh pembayaran selepas setahun kepada peniaga kecil terjejas.
Katanya, cadangan itu dapat membantu mengurus masalah kewangan serta meningkatkan keyakinan peniaga untuk meneruskan perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Terdapat peniaga kecil mempunyai tanggungan yang ramai, tiada punca pendapatan selama empat bulan kerana tidak dapat berniaga, ditambahkan lagi dengan pembukaan semula sesi persekolahan bermula semalam, sudah semestinya memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak.
“Sebelum ini, kerajaan menerusi bantuan Gerak Khas Prihatin diberikan secara one off tidak banyak membantu dalam perniagaan, justeru itu, pihak penjaja dan peniaga kecil amat memerlukan bantuan daripada kerajaan seperti cadangan pinjaman tanpa faedah bagi menjana semula pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE