PUTRAJAYA: Measat Global Berhad menafikan kononnya piring parabola ConnectMeNow melanggar peraturan ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menerusi kenyataan e-mel balas kepada Utusan Malaysia, jurucakap komunikasi korporatnya, Shawna Felicia berkata, mereka mematuhi segala standard digariskan oleh SKMM selama ini.
“Kami memberi jaminan parabola ConnectMeNow yang telah dipasang oleh juruteknik Measat memang mengikut semua syarat tegas diwartakan pihak SKMM,” katanya.
Sebelum ini tular menerusi laman forum dalam talian yang memaparkan keluhan pelanggan perkhidmatan itu apabila dikenakan notis SKMM bagi menanggalkan parabola berkenaan.
Pemilik cakera tersebut diberi tempoh tujuh hari dari tarikh notis sebelum dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana konon didakwa sebagai menyalahi Seksyen 239 Akta SKM 1998.
Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Felicia bagaimanapun menjelaskan, pihaknya akan menyiasat kesahihan notis yang tular diperkatakan warganet tempatan itu kerana belum menerima apa-apa aduan.
“Kami juga setakat ini tidak dapat mengesahkan apakah notis SKMM berkenaan memang merujuk kepada pemasangan parabola ConnectMeNow di kediaman pelanggan,” katanya.
Perkhidmatan itu merupakan penyedia titik panas WiFi berkelajuan tinggi hasil inovasi sistem jalur lebar satelit Measat yang membolehkan pengguna menerima liputan internet 3G dan 4G.
Ia menawarkan kelajuan 30 Megabit persaat dengan tiada caj pemasangan, kontrak dan yuran bulanan kerana perkhidmatan ini berdasarkan kaedah prabayar sebelum digunakan.
Jangkauan internet meliputi keluasan jarak 100 meter persegi dari parabola dengan boleh diterima 50 pengguna serentak dalam satu masa dengan penggunaan data 5 Gigabit sebulan.
ConnectMeNow cukup popular dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang jauh daripada liputan jalur lebar menara pemancar telekomunikasi.