KUALA TERENGGANU: Muhammad Sanusi Md. Nor akan bersaing merebut jawatan Naib Presiden Pas pada pemilihan parti sempena Muktamar Ke-67, bulan depan.
Selain Menteri Besar Kedah, turut bertanding adalah Ahli Jawatankuasanya, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.
Sanusi dan Mohd. Zuhdi akan menentang penyandangnya iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad dan Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa pula, sebanyak 43 pencalonan diterima antaranya ialah daripada Ketua Pemuda, Khairil Nizam Khirudin dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Senarai calon-calon yang layak bertanding dalam jawatankuasa tertinggi Pas bagi sesi 2021-2023 dipaparkan dalam portal Harakah Daily hari ini.
Dalam pemilihan pada 2019, jawatan Presiden dan Naib Presiden kekal milik Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selepas mereka diumumkan menang tanpa bertanding.
Terengganu menjadi tuan rumah bagi Muktamar kali ini yang diadakan secara hibrid pada 6 dan 7 November di Kuala Terengganu.
Kehadiran fizikal hanya melibatkan ahli jawatankuasa peringkat Pusat, ahli Majlis Syura Ulama dan pesuruhjaya negeri/Wilayah Persekutuan.- UTUSAN










