PETALING JAYA: Mayat lelaki tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemukan di tepi Jalan Sungai Tua – Ulu Yam di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, mayat lelaki berkenaan ditemukan orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, susulan itu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bergegas ke lokasi kejadian.
“Mayat berkenaan ditemukan di tepi jalan, setakat ini identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Tambah Zainal, hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai dibunuh.
Bagaimanapun jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan, buat masa ini pasukan forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi.
“Kita masih belum mengetahui sama ada dibunuh di kawasan lain atau sebaliknya, siasatan masih berjalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkan ke mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.