Masih ada ruang kerjasama dengan blok pembangkang pada PRU 15 - Warisan - Utusan Malaysia

Masih ada ruang kerjasama dengan blok pembangkang pada PRU 15 – Warisan

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masih ada ruang dan peluang untuk parti-parti di blok pembangkang menjalin kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Warisan, Mohd. Azis Jamman berkata, partinya bersedia bekerjasama dengan pihak lain ketika hanya Parti Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ketika ini yang bersetuju bekerjasama sekaligus bertanding atas logo Warisan.

“Kita akan duduk berbincang dengan rakan-rakan yang berpotensi bekerjasama dengan kita. Di blok pembangkang akan berbincang antara satu sama lain, pintu perbincangan masih terbuka,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baru-baru ini, Warisan mengumumkan bekerjasama dengan MUDA pada PRU15 namun masih dalam proses perbincangan tentang bagaimana jalinan kerjasama itu dapat direalisasikan.

Warisan dilaporkan bersetuju supaya calon-calon daripada MUDA bertanding di bawah logo Warisan memandangkan parti diasaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman masih gagal didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam perkembangan lain, Mohd. Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, Warisan akan melancarkan beberapa bahagian dan cawangannya di Semenanjung Malaysia dalam tempoh terdekat ketika usaha ke arah itu tertangguh beberapa kali.

Katanya, meskipun tiada angka yang tepat mengenai maklum balas orang ramai di Semenanjung, namun ramai yang menyatakan hasrat dan menghantar borang keahlian menyertai parti.

“Penyertaan ke dalam Warisan bukannya daripada orang Sabah sendiri tetapi mereka yang berasal dari Semenanjung, malah ada tokoh-tokoh yang dikenali dan sudah bersara dari[ada politik yang mahu membantu, menyokong dan menyertai kami.

“Cuma, biarlah ia menjadi rahsia untuk masa sekarang, apabila tiba masanya seluruh negara akan tahu juga. Yang penting, ramai yang minat menyertai Warisan kerana perjuangan yang kami bawakan berkonsepkan kesatuan dan saluran kepelbagaian bangsa yang jelas dalam Warisan,” katanya.

Dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), masih belum ada jalinan kerjasama rasmi dengan pembangkang lain termasuk Warisan dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) namun semua pihak akan bekerjasama memenangi pilihan raya atas dasar kesefahaman menumbangkan kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pun begitu, PH masih berdepan isu melibatkan logo dan bendera rasmi yang akan digunakan bertanding pada PRU15 kerana terdapat pihak yang mahu supaya logo PKR digunakan.

Sementara itu, Presiden Penaja MUDA, Syed Saddiq turut senada dengan kenyataan Mohd. Azis bahawa kedua-dua mereka akan bekerjasama termasuk semua parti pembangkang.

“Pendirian MUDA adalah bekerjasama dengan semua di blok pembangkang dan memastikan kerjasama ini dapat mengeratkan semua parti pembangkang dan bersama-sama membina Malaysia dan fokus kepada penggubalan dasar yang lebih baik,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×