Maritim Malaysia tawar saguhati kepada pemberi maklumat - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tawar saguhati kepada pemberi maklumat

MOHD Zubil Mat Som (kiri) meninjau PTV Maritim Malaysia di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Nelayan tempatan yang melaporkan pencerobohan bot nelayan asing dan kegiatan mencuri hasil laut negara bakal menerima bayaran saguhati daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, bayaran setimpal itu dipertimbangkan sekiranya bot nelayan asing terbabit berjaya ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.

Kata beliau, maklumat lain turut dialu-alukan termasuklah berkaitan sindiket di darat yang aktif memalsukan dokumen dan permit memukat ikan serta kegiatan pengklonan bot tempatan kepada nelayan asing.

“Nelayan tempatan adalah rakan maritim yang ramai di tengah laut. Kerjasama mereka dalam menyalurkan maklumat segera amat diperlukan selain operasi dan tinjauan udara oleh Maritim Malaysia sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar  yang turut dihadiri Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman selepas melawat Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Malaysia di Tok Bali, di sini hari ini.

Mohd. Zubil menambah, kerjasama nelayan tempatan disifatkan sebagai langkah tambah nilai kepada usaha menyelamatkan khazanah laut negara daripada terus dirompak nelayan asing dengan kerugian dicatatkan mencecah RM6 bilion pada 2017 dan RM4.25 bilion pada 2019.

“Tidak perlu kongsi di media sosial, sebaliknya segera hantar maklumat seperti nombor pendaftaran bot asing dan lokasi mereka kepada pejabat Maritim Malaysia berdekatan. Kita juga sering menerima maklumat daripada pekerja di pelantar minyak,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, sepanjang 2019, Op Naga Barat dan Op Naga Timur Maritim Malaysia merampas 303 bot nelayan asing dengan nilai rampasan RM337 juta bersama hasil lelongan sebanyak RM72 juta.

Dalam tempoh sama kata beliau, seramai 2,000 nelayan warga Vietnam merangkumi krew, awak-awak dan tekong bot telah ditahan.

“Op Kuda laut pula setakat ini berjaya menahan 149 bot nelayan asing bersama 1,516 nelayan warga Vietnam dengan rampasan hasil dianggarkan bernilai RM244 juta sejak dilancarkan 24 Jun lalu,” katanya.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya