BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk pokok tanduk rusa bernilai RM4,500 selepas menahan sebuah lori dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
MAQIS dalam satu kenyataan hari ini berkata, lori tersebut ditahan dalam satu operasi pihaknya di ICQS Bukit Kayu Hitam pada pukul pukul 4.27 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 90 pokok tanduk rusa yang bersembunyi di bawah timbunan sayur–sayuran dalam lori terbabit.
“Lori tersebut telah ditahan kerana tidak mempunyai permit import MAQIS dan kesemua barang dagangan itu dianggarkan bernilai RM4,500 ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, kegagalan untuk mengemukakan permit import yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Tambahnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
Sehubungan itu, MAQIS memberi amaran tegas kepada pihak pengimport supaya sentiasa mematuhi syarat import yang telah ditetapkanoleh kerajaan.
“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan di semua pintu masuk negara bagi keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang boleh ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin,” ujarnya. – UTUSAN










