Malaysia tewas kepada China - Utusan Malaysia

Malaysia tewas kepada China

Siti Nurshuhaini Azman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengalami kekalahan kedua dalam saingan Kumpulan D, Piala Uber selepas tumpas 0-5 kepada China sebentar tadi, sekali gus meranapkan impian untuk sekurang-kurangnya mara ke  suku akhir.

Ia kekalahan kedua skuad negara di Aarhus, Denmark selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah, Denmark dalam aksi pembukaan semalam.

Dalam aksi itu, Malaysia mengambil keputusan merehatkan S. Kisona dan memberi peluang kepada Eoon Qi Xuan untuk berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo, Chen Yu Fei.

Qi Xuan cuba memberikan cabaran kepada pemain No.2 dunia itu, namun terpaksa akur dengan kekalahan 13-21, 11-21.

Malaysia cuba memberikan cabaran dalam aksi kedua menerusi kapten, Lee Meng Yean yang berpasangan dengan M. Thinaah buat kali kedua dalam kejohanan itu.

Pasangan itu bagaimanapun gagal menyumbang mata kepada negara selepas tewas 12-21, 17-21 kepada gandingan Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting.

Meng Yean berkata, aksi mereka lebih baik berbanding ketika menentang Denmark tetapi mengakui sangat kecewa kerana gagal menyumbang mata kepada Malaysia.

“Mereka memang sangat agresif ketika melakukan serangan dan saya akui perlu perbaiki permainan saya untuk aksi esok,” kata Thinaah.

Diturunkan sebagai perseorangan kedua, pemain remaja berusia 17 tahun, Siti Nurshuhaini Azman tampak belum bersedia bersaing di peringkat tertinggi apabila kalah mudah 8-21, 3-21 kepada He Bing Jiao.

Pasangan Teoh Mei Xing-Go Pei Kee juga tewas mudah 9-21, 12-21 kepada Huang Dong Ping-Jia Yi Fan, manakala mata kelima China hadir menerusi Wang Zhi Yi yang menumpaskan  K. Letshanaa 15-21, 11-21.

Malaysia yang membariskan skuad termuda dalam kejohanan badminton berpasukan wanita dunia itu berharap untuk menutup kempen dengan sekurang-kurangnya menewaskan Kanada pada aksi terakhir kumpulan esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya