PETALING JAYA: Malaysia sudah memulakan proses rundingan perolehan ubat antiviral Covid-19 daripada syarikat perubatan Merck.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian usaha Kementerian Kesihatan untuk terus memperkasa usaha dalam peralihan kehidupan bersama virus tersebut.
“Mengenai peralihan ke fasa endemik Covid-19, pilihan inovasi rawatan tambahan diberikan sebagai tambahan kepada vaksinasi.
“Saya sudah memulakan rundingan bagi perolehan ubat berkesan yang sudah melepasi ujian klinikal,” katanya dalam akaun Twitter beliau hari ini.
Semalam, kajian makmal menunjukkan bahawa ubat pil antivirus Covid-19 keluaran Merck & Co, Molnupiravir, mungkin berkesan terhadap coronavirus termasuk varian Delta yang sangat mudah berjangkit.
Menurut kenyataan syarikat itu, kajian mengesahkan keberkesanan ubat Molnupiravir, yang digunakan untuk pencegahan Covid-19 dalam kalangan dewasa tinggal serumah dengan pesakit mempunyai simptom jangkitan.
Ketua penyakit berjangkit dan vaksin di Merck, Dr. Jay Grobler berkata, data menunjukkan bahawa ubat itu paling berkesan apabila diberikan pada awal jangkitan.
Merck menguji antivirus terhadap sampel calitan hidung yang diambil daripada peserta dalam percubaan awal ubat berkenaan.
Varin Delta tidak tersebar lagi semasa ujian terbabit, tetapi molnupiravir diuji terhadap sampel varian Delta di makmal ketika terdapat lonjakan kes di hospital dan kematian akibat Covid-19.
Merck kini menjalankan dua ujian Tahap III antivirus yang dikembangkannya dengan Ridgeback Biotherapeutics, satu untuk rawatan Covid-19 dan satu lagi sebagai pencegahan.
Fasa ujian peringkat pertengahan hingga ke peringkat akhir itu membabitkan pesakit Covid-19 yang tidak dirawat di hospital kerana pesakit dalam fasa ujian itu tidak ada risiko penyakit kritikal.
Mereka akan diberikan pil yang dibangunkan untuk menyekat rangsangan enzim utama, yang diperlukan virus untuk membiak.
Menurut Merck, kajian baharu itu akan melihat ubat molnupiravir digunakan untuk pencegahan Covid-19 dalam kalangan dewasa yang tinggal serumah dengan pesakit mempunyai simptom jangkitan.
Ia kini memulakan ujian pil dalam kalangan pesakit dewasa Covid-19 yang berisiko berubah menjadi kritikal susulan masalah kesihatan lain seperti kencing manis.
Jika kajian itu berjaya, Merck akan memfailkan permohonan untuk meluluskan kegunaan darurat pada suku keempat tahun ini. – UTUSAN ONLINE