PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dijangka melaksanakan empat inisiatif bagi terus meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah RM120 juta.
Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, inisiatif tersebut dijangka dapat meningkatkan sekuriti makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import dari luar negara khususnya makanan ternakan di samping meningkatkan nilai tambah dan kecekapan rantaian nilai agromakanan.
“Inisiatif itu merangkumi pelbagai projek Jaminan Bekalan Makanan melibatkan pelbagai negeri termasuk Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-Kerangan di Johor dan program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan serta hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani dan pengusaha agromakanan.
“Selain itu, program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih murah selaras dengan konsep ekonomi kitaran dan program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman serta pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi untuk manfaat 140 usahawan tani serta program,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM4.82 bilion bagi kementerian itu meliputi perbelanjaan mengurus (OE) sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM1.54 bilion.
Menurut Ronald, peruntukan itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik serta negara lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan dunia sekaligus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu katanya, semua ahli peladang Persatuan Pertubuhan Kawasan (PPK) seluruh negara akan diberi perlindungan takaful di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
“Dalam usaha meningkatkan kawasan pertanian dan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan belia termasuk graduan untuk menjana pendapatan, tanah terbiar dan tidak dibangunkan milik Kerajaan Persekutuan serta tanah Rizab Melayu dicadangkan untuk disewa bagi projek pertanian atau perniagaan.
Melalui inisiatif ini, MAFI berharap tanah-tanah tersebut dapat diuruskan secara optimum serta dapat mengatasi masalah kekurangan tanah pertanian secara efektif dan teratur.
“MAFI akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2022 secara efektif bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi serta berkhasiat,” katanya.