Perjanjian perdagangan AS tak jejas kedaulatan Malaysia

Perjanjian perdagangan AS tak jejas kedaulatan Malaysia – Duta Besar AS

EDGARD D. KAGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) tidak melihat perjanjian perdagangan bersama Malaysia menjejaskan kedaulatan negara ini.

Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, perjanjian perdagangan itu dibuat secara berdaulat, sekali gus menafikan dakwaan yang perjanjian tersebut memberi kesan negatif kepada Malaysia.

“Saya langsung tidak bersetuju dengan dakwaan itu (pemeteraian perjanjian perdagangan dengan AS menjejaskan kedaulatan Malaysia).

“Perkara utama di sini adalah apabila kita bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi dalam aktiviti ekonomi, maka perlu wujud kerjasama lebih erat. Saya rasa kita melihat perkara itu dalam banyak bidang.

“Kita juga menjelaskan sejak beberapa tahun lalu bahawa memang ada isu yang kita tidak sependapat, namun saya percaya perjanjian ini melindungi kedaulatan Malaysia.

“Keputusan untuk menjalinkan hubungan lebih rapat dengan AS, dibuat secara berdaulat oleh Kerajaan Malaysia. Saya fikir ini mencerminkan dasar kerajaan yang jelas,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia dalam kunjungannya sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 menyaksikan beberapa perjanjian ditandatangani.

Antaranya, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dan perjanjian untuk menaik taraf hubungan dua hala ke arah Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Susulan daripada itu, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa bahawa ART yang ditandatangani Malaysia dilihat bukan satu bentuk timbal balik sebagaimana digambarkan, sebaliknya bentuk penyerahan terhadap AS.

Mohamed Azmin mendakwa, salah satu klausa paling merugikan adalah Artikel 5.1 yang mewajibkan Malaysia mengikut sekatan perdagangan atau sekatan ekonomi AS terhadap negara lain.

Dalam pada itu, Kagan berkata, kejayaan memeterai perjanjian tersebut turut menunjukkan AS menghormati kedaulatan Malaysia sepanjang proses itu berlangsung.

“Jika kita mengimbas kembali pada April lalu, apa yang dikatakan pembangkang di Malaysia? Mereka berkata Malaysia memerlukan satu perjanjian dengan AS.

“Terdapat pandangan meluas, dan saya percaya pandangan itu masih kekal bahawa adalah sangat penting untuk Malaysia terus mempunyai hubungan perdagangan istimewa dengan AS,” katanya.

Kagan turut mengulas mengenai Artikel 5.3 yang menyatakan jika Malaysia ingin memeterai perjanjian perdagangan bebas baharu dengan negara lain, ia mesti mendapat persetujuan AS.

Katanya, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu penyerahan kedaulatan, sebaliknya ia lebih kepada pengiktirafan ketika kedua-dua negara memasuki fasa baharu dalam hubungan dua hala.

“Saya fikir begitulah hubungan antara rakan kongsi rapat berfungsi.

“Jika AS melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan Malaysia, contohnya menandatangani perjanjian yang mengancam kepentingan Malaysia, kita juga mengharapkan kerajaan Malaysia akan membangkitkannya dengan kami,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN