Love Scam: Guna gambar profil cantik, kacak umpan mangsa  - Utusan Malaysia

Love Scam: Guna gambar profil cantik, kacak umpan mangsa 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket penipuan Love Scam tumpas selepas tujuh warga asing termasuk dua wanita ditahan dalam serbuan di tiga premis sekitar Puchong, Selangor, semalam.

Penahanan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersama polis Hong Kong menerusi Operasi Tiong bagi membanteras kegiatan sindiket Love Scam yang dikesan di sekitar Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada lima lelaki serta dua wanita warga asing berusia antara 25 tahun hingga 40 tahun yang ditahan di tiga premis sekitar Puchong, dekat sini.

Kata beliau, kesemua suspek berkenaan dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan Love Scam yang menyasarkan individu tempatan dan Hong Kong.

“Dalam serbuan itu, kami merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, router, pasport dan sejumlah kad ATM dari pelbagai bank.

“Semakan lanjut mendapati ahli sindiket itu memasuki Malaysia sejak tiga tahun lalu menggunakan pas pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ahli sindiket itu didapati menggunakanpelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram, sebelum menghantar permintaan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial di negara sasaran.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu yang ditaburkan kemudian  diminta memindahkan wang ke dalam akaun bank diberikan.

“Semua suspek ditahan direman sehingga 9 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) akta sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menitikberatkan aspek pencegahan jenayah merangkumi ilmu pengetahuan, kewaspadaan dan lain-lain dalam usaha mengekang kegiatan jenayah seumpama ini.

Jelas beliau, masyarakat diminta tidak mudah terpesona dengan gambar profil yang cantik atau tampan digunakan di media sosial serta tidak cepat terpedaya dengan kata-kata manis dan janji mereka.

“Berhati-hati dalam memilih rakan melalui media sosial terutama kenalan dari luar negara dan jangan mendedahkan nombor akaun bank atau identiti diri serta keluarga kepada individu tidak dikenali atau baru dikenali melalui internet.

“Jangan memberi pinjaman atau memasukkan wang ke dalam akaun individu tidak dikenali sekiranya diminta berbuat demikian oleh kenalan media sosial melalui telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel,” tegasnya.

Kata beliau, semakan lanjut boleh dibuat melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau memuat turun aplikasi semak mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

“Hubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 atau 03-26101599 jika mempunyai sebarang maklumat atau keraguan berkaitan jenayah komersial,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN