Lima remaja terkandas di Bukit Besar diselamatkan - Utusan Malaysia

Lima remaja terkandas di Bukit Besar diselamatkan

LIMA remaja yang diselamatkan anggota bomba dan penyelamat selepas terkandas ketika mendaki di Bukit Besar, Kulim semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Lima remaja yang terkandas ketika mendaki di Bukit Besar di sini berjaya diselamatkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.52 tengah hari, tiga remaja lelaki dan dua remaja perempuan  berusia 13 sehingga 16 tahun itu terkandas selepas mereka tidak dapat meneruskan perjalanan untuk turun dari bukit tersebut selepas dipercayai sesat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azuan Hamdan berkata, lima remaja terbabit tiba di bukit tersebut dipercayai kira-kira pukul 10 pagi tanpa membawa bekalan makanan dan air.

“Mereka tiba di kawasan bukit itu untuk beriadah dan mendaki bersama beberapa pendaki lain yang tidak dikenali mereka.

“Ketika sedang mendaki remaja terbabit berhenti rehat kerana keletihan dan terputus hubungan dengan pendaki lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamizul Azuan berkata, selepas berehat mereka cuba meneruskan perjalanan untuk turun dari bukit itu tetapi gagal mencari jalan keluar.

Jelasnya, salah seorang daripada mereka kemudian menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan untuk turun dari bukit itu.

Katanya, anggota bomba dengan menaiki sebuah jentera dan ambulan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS)  bergegas ke kawasan bukit tersebut selepas menerima panggilan kira-kira pukul 12.52 tengah hari.

“Gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama orang kampung telah berjaya menemukan mangsa kira-kira pukul 2.30 petang  kira-kira jarak 2.3 kilometer.

“Mangsa yang mengalami keletihan kemudian dibawa turun dan operasi tamat pada pukul 4.50 petang,” katanya.

Tambahnya, remaja terbabit yang tidak mengalami kecederaan selepas itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN