PETALING JAYA: Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali antara lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa 15 November ini.
Superintenden Komunikasi Korporat PDRM, Superintendan A Skandaguru dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Muhammed Hasbullah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pengubahan Wang Haram/Siasatan Perakaunan Forensik (JSJK) Bukit Aman.
Katanya, pertukaran lain turut melibatkan Ketua Penolong Pengarah (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Kominsioner Sapii Ahmad yang dilantik sebagai Ketua JSJ Sabah
Beliau akan digantikan Ketua Penolong Pengarah, Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Dennis Lim Kwang Keng.
“Jawatan Dennis akan digantikan Timbalan Ketua Staf Perisikan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Kementerian Dalam Negeri Asisten Komisioner Habibi Majinji dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner,” katanya.
“Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Hisham Mohamad Idris pula dilantik sebagai Pengarah Cawangan Operasi, Bahagian Perlindungan, Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.- UTUSAN ONLINE










