Liga Super 2021 raih hampir 78 juta tontonan di YouTube - Utusan Malaysia

Liga Super 2021 raih hampir 78 juta tontonan di YouTube

AKSI JDT menentang Selangor dalam saingan Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu mendapat tontonan tertinggi dengan jumlah 1.7 juta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Keterujaan peminat-peminat terhadap liga bola sepak tempatan tetap membara meskipun tidak dapat memberi sokongan kepada pasukan pilihan mereka di stadium susulan pandemik Covid-19.

Buktinya, saingan Liga Super 2021 yang membabitkan 132 perlawanan telah mencatatkan sebanyak 77,965,339 jumlah tontonan melalui platform YouTube rasmi unifi menerusi data yang dikumpul sehingga 20 September lalu.

Angka peratus bagi musim ini meningkat jika dibandingkan 16,223,282 jumlah tontonan Liga Super 2020 dengan hanya 66 perlawanan berlangsung pada tahun lalu disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam tempoh pandemik Covid-19 ketika itu.

Siaran langsung Liga Super 2020 di platform YouTube unifi bermula perlawanan minggu kelima sehingga minggu ke-11 sebagaimana penaja utama Liga Malaysia, Telekom Malaysia (TM) mengumumkan siaran langsung Liga Malaysia (Liga M) secara percuma pada perlawanan kelima.

Ini kerana kali terakhir penonton dibenarkan turun ke stadium pada perlawanan Liga Super ketiga bagi tahun 2020 (11 Mac 2021) dan perlawanan ke-13 (9 Mei 2021) bagi tahun 2021 susulan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

Bagi Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, data terbaharu jumlah tontonan perlawanan Liga Super di YouTube unifi pada musim ini membuktikan bahawa Liga M masih dekat di hati peminat bola sepak tanah air serta mempunyai aura tersendiri.

“Sudah pasti ini satu angka yang cukup positif di mana perkembangan Liga Malaysia khususnya Liga Super terus diikuti peminat bola sepak di negara ini. Di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda, saingan Liga Super terus rancak dan mendapat perhatian semua.

“Terima kasih kepada semua pasukan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dalam meneruskan saingan dan tidak lupa kepada pihak unifi yang mengambil inisiatif menyiarkan siaran langsung Liga Super secara percuma menerusi platform unifi dan juga RTM bagi memastikan semua penyokong dapat menonton perlawanan ketika kerajaan menetapkan larangan kemasukan penyokong sebelum ini.

AKSI JDT menentang Selangor dalam saingan Liga Super 2021 di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu.

“Saya percaya dengan inisiatif unifi dan RTM ini dapat menyemarakkan bukan saja Liga Malaysia malah menitipkan semangat buat industri bola sepak tanah air yang terkena tempias akibat pandemik Covid-19.

“Tidak lupa juga kepada semua penyokong yang terus memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan dalam aksi Liga Super dan diharap sokongan ini berterusan bagi saingan Piala Malaysia yang kini menyambut ulang tahun ke-100,” katanya.

Sementara itu, bagi tontonan secara siaran langsung untuk 132 perlawanan Liga Super yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi), mencatatkan rekod 35,891,793.

Berdasarkan data tontonan musim ini, pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu menjadi tumpuan utama di platform YouTube unifi dengan mencatatkan jumlah tontonan sebanyak 1,710,079.

Dalam pada itu, aksi Liga Super yang merekodkan gol terbanyak dalam satu perlawanan melibatkan pertemuan Perak dan Penang dengan mencatatkan keputusan 3-5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.