PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) membidas keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menghalang pengundi tidak lengkap vaksin daripada mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
PH menegaskan, kenyataan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berhubung larangan mengundi itu melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.
Dalam kenyataan, PH menjelaskan, walaupun pihaknya menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.
“Kami menggesa SPR mengkaji semula pendirian silap ini, untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut kenyataan berkenaan, PH akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu ini dengan satu sijil perakuan segera telah diturut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi.
“PH berpendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah. Yang Dipertua Negeri Melaka seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan, yang mana Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu,” jelas kenyataan itu.
PH juga berpendirian bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN memandangkan penularan wabak Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula, dan kerisauan berlakunya gelombang keempat.
“Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan diguna pakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak. Bagaimanapun, PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka,” katanya.
PH masih mengekalkan pendirian bahawa Datuk Seri Sulaiman Ali sepatutnya tidak dinamakan sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ memandangkan beliau dengan jelas telah hilang sokongan majoriti sebelum tindakan pembubaran DUN Melaka berlaku. – UTUSAN ONLINE










