SEJAK kecil, dunia muzik tradisional sudah sebati dalam kehidupan Irdina Qasaira Zakri.
Minat wanita muda berusia 23 tahun itu terhadap caklempong yang berasal daripada budaya masyarakat Minangkabau tidak hadir secara kebetulan.
Ketika berumur tiga tahun, dia sering mengikuti ibunya menjalani latihan dan melakukan persembahan caklempong sekali gus menjadikan persekitaran seni muzik tradisional itu sebati dengan dirinya.
Irdina bercerita, bermula usia lima tahun, dia sudah mula terlibat secara langsung dalam persembahan walaupun hanya memainkan tamborin dan gong.
Daripada situ, kemahirannya berkembang sedikit demi sedikit untuk mempelajari alat muzik caklempong yang lain.Susulan pendedahan dan penglibatan langsung, minatnya terhadap alat muzik tradisional itu terbina secara semula jadi tanpa sebarang paksaan daripada orang tuanya.
Ketika bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Mawar, Irdina turut berpeluang menyertai pasukan caklempong sekolah
Walaupun ketika itu peluang untuk memainkan gereteh iaitu alat muzik utama masih terhad, minatnya tidak pernah pudar, malah dia juga mencuba bermain gendang dan pelbagai alat lain bagi mengumpul pengalaman dalam dunia muzik tradisional tersebut.
Kebolehan Irdina dalam seni muzik caklempong mula-mula terserlah apabila melangkah ke alam sekolah menengah apabila dia diberi peluang bermain gereteh yang membawa melodi dalam caklempong.
Wanita itu akui, pendedahan dan pengetahuan masyarakat mengenai seni muzik caklempong masih terhad.
“Walaupun ada yag cakap muzik caklempong ini lebih sesuai untuk golongan berusia, saya tidak berasa kecil hati kerana muzik itu bersifat universal, bukannya mengikut umur atau jantina seseorang.
“Memang diakui, ramai yang tidak tahu tentang kewujudan muzik caklempong dan sehubungan itu, perlu ada orang muda untuk meneruskan warisannya supaya tidak pupus bersama peredaran zaman moden.
“Ada segelintir masyarakat tidak dapat membezakan seni muzik caklempong dengan gamelan,” katanya.
Memori bersama Orkestra Malaysia
Menurut Irdina, kenangan paling manis dalam perjalanan seninya ialah apabila diberi peluang menyertai persembahan bersama Orkestra Tradisional Malaysia pada tahun 2023.
Walaupun merupakan antara pemain paling muda yang terlibat, faktor usia tidak menjadi penghalang untuk dia menunjukkan bakat dengan menyertai persembahan berprestij itu.
Konsert tersebut turut menghimpunkan barisan artis tempatan seperti Haziq Rosby dan Dayang Nurfaizah, sekali gus menjadikan pengalaman tersebut antara pencapaian paling bermakna buatnya.

Dalam konsert berkenaan, Irdina bukan sekadar melakukan persembahan sebagai pemain iringan, malah tampil secara berpasangan dengan seorang pemain gereteh muda lain.
“Walaupun melalui proses latihan yang mencabar dan penuh debaran, saya bersyukur kerana persembahan sebenar berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat penonton.
“Malah, peluang berganding bahu dengan pemuzik profesional dan artis terkenal membuka ruang yang lebih luas untuk mengenali dunia persembahan bertaraf besar,” ujarnya.
Bagi dirinya, peristiwa manis tersebut membuktikan alat muzik tradisional caklempong masih relevan dan mampu dipersembahkan dalam skala orkestra yang gah.
Cabaran pupuk minat pelajar
Cabaran terbesar Irdina muncul apabila dia berusaha menarik minat pelajar sekolah menengah untuk mempelajari caklempong, ketika bergelar guru praktikal.
Katanya, walaupun dia menggunakan kaedah paling mudah mengajar bermain caklempong, masih ramai pelajarnya menunjukkan sikap kurang berminat.
“Golongan belia masa kini mudah bosan dengan muzik tradisional kerana ia bukan pada era hidup mereka. Gaya hidup dan budaya hiburan generasi kini lebih cenderung kepada muzik moden.
“Mereka berpandangan, melodi tradisional tidak boleh ‘masuk’ dengan gaya hidup ketika ini,” katanya.
Dia juga pernah disindir oleh para guru di sekolah tempat dia bertugas ekoran terlalu ‘lantang’ mempromosi seni muzik caklempong.
Namun, hal itu sedikit pun tidak menggoyahkan semangatnya dalam terus memperjuangkan caklempong.
Bahkan, Irdina memahami usaha memupuk minat generasi muda terhadap muzik tradisional tidak boleh dilakukan secara tiba-tiba dan dalam tempoh yang singkat.
Dia juga sentiasa berfikiran positif dengan menganggap golongan muda boleh menikmati seni muzik tradisional sama seperti muzik moden.

“Saya mahu orang muda lihat dan hayati muzik caklempong ini sebagai satu warisan budaya yang perlu dipelihara sampai bila-bila, bukan sekadar halwa telinga,” katanya.
Hampir berputus asa
Mustahil jika tidak pernah berasa putus asa sehingga tidak mahu lagi membuat persembahan caklempong.
Kata Irdina, kebanyakan pemain caklempong adalah lelaki, menjadikan dirinya sebagai antara wanita muda yang jarang menonjol dalam bidang tersebut.
“Tambahan pula, terdapat persepsi yang agak stereotaip, jika kaum wanita bermain caklempong, muzik yang dihasilkan tidak akan sehebat melodi yang ditonjolkan pemain lelaki.
“Malah, ada juga pihak berpendapat pemain wanita terlalu menjaga keayuan mereka sehinggakan hal tersebut boleh menjejaskan prestasi mereka di atas pentas,” katanya.
Kritikan sedemikian tidak menggoyahkan minatnya, malah memberi semangat kepadanya untuk meneruskan minatnya.
Dengan disiplin tinggi dan terus meningkatkan kemahirannya, Irdina mahu membuktikan wanita juga boleh bermain alat muzik tradisional dengan baik, sekali gus menghasilkan kualiti muzik tinggi.
Manfaatkan media sosial
Seiring dengan masa kini, penggunaan media sosial banyak membantu Irdina mempromosikan caklempong kepada dunia luar menerusi penstriman langsung.
Katanya, zaman kini tidak memerlukan orang menghadiri persembahan secara fizikal untuk menikmati muzik tradisional, buka sahaja media sosial, semuanya sudah terhidang depan mata.
“Dengan cara ini, lebih mudah untuk saya kenalkan apa itu caklempong kepada generasi muda, tidak salah kita berusaha, pasti akan membuahkan hasil,” katanya.
Irdina memberitahu, dia juga sering berkongsi tutorial ringkas cara bermain alat-alat muzik caklempong melalui siaran langsungnya.
Wanita itu juga menanam impian tinggi apabila berhasrat membuka studio muzik sendiri suatu hari nanti.
Katanya, studio tersebut juga akan dapat menjadi tempat berkumpulnya peminat muzik caklempong untuk berkongsi ilmu dan pengalaman.
Jelasnya, mempunyai studio sendiri akan memudahkan usaha mendidik generasi muda dan mengekalkan minat mereka terhadap warisan muzik.










