Lelaki ditahan palsukan kad pengenalan untuk daftar telefon bimbit - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan palsukan kad pengenalan untuk daftar telefon bimbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu aktiviti pemalsuan dokumen pengenalan diri terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki di sebuah rumah di sekitar Kota Bharu, Kelantan, 9 Oktober lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu dikesan memalsukan dokumen pengenalan diri yang kemudiannya digunakan untuk mendaftar talian telefon pascabayar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, siasatan mendapati, suspek disyaki mengubah suai butiran kad pengenalan miliknya dengan memasukkan maklumat pelanggan pascabayar yang berdaftar dengan sebuah syarikat telekomunikasi.

Kata beliau, kad pengenalan palsu tersebut kemudian digunakan untuk membuka akaun baru (prabayar) di syarikat telekomunikasi sama.

“Setelah akaun dibuka, suspek akan mendaftar nombor tersebut ke dalam aplikasi yang disediakan oleh syarikat berkenaan.

“Setelah pendaftaran berjaya, sistem beranggapan nombor tersebut adalah milik pelanggan sedia ada dan akan membenarkan transaksi pemindahan kredit dari nombor pascabayar ke prabayar yang ditentukan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Kamarudin, sehingga kini syarikat telekomunikasi berkenaan  mengalami kerugian RM3,882 akibat pemindahan kredit secara tidak sah ini.

“Hasil tangkapan lelaki berkenaan, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan enam keping sim kad serta peralatan komputer dirampas dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

“Suspek juga kini direman sehingga 23 Oktober ini untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil penahanan suspek, sekurang-kurangnya lapan kes yang melibatkan modus operandi sama  diselesaikan.

“Kes itu kini disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya