PETALING JAYA: Gara-gara enggan memberi wang membeli dadah, seorang warga emas dibelasah anak lelakinya hingga patah pergelangan tangan dalam kejadian di Pelangi Damansara di sini, Sabtu lalu.
Kejadian kira-kira pukul 7 malam berlaku apabila wanita berusia 73 tahun itu diserang dengan kayu oleh anaknya yang berusia 45 tahun di rumah mereka.
Susulan itu, wanita itu kemudian menghubungi pihak polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa membuat laporan pada pukul 11.30 malam pada hari sama.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek sering bertindak agresif dengan memukul dan meminta wang daripada ibunya untuk membeli dadah.
“Ekoran itu, suspek ditahan di lokasi kejadian manakala wanita berkenaan kemudian menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 15 rekod dadah dan tiga rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah.










