Lee Chong Wei dilantik duta pelancongan Sabah - Utusan Malaysia

Lee Chong Wei dilantik duta pelancongan Sabah

JAFRY Ariffin (dua kiri) menyampaikan sijil lantikan sebagai duta pelancongan Sabah kepada Lee Chong Wei (dua kanan) di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Proses pemulihan industri pelancongan Sabah dilihat akan berjalan lancar berikutan lantikan bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei sebagai Duta Pelancongan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, lantikan ikon sukan ini akan membolehkan usaha mempromosikan Sabah kepada pelancong luar akan terus dipergiatkan.

Beliau berkata, penglibatan Chong Wei dalam sukan berbasikal juga boleh dimanfaatkan bagi membantu mempromosikan kawasan pelancongan luar bandar yang mempunyai landskap dan pemandangan yang menarik.

“Sebagai ikon yang mempunyai ramai peminat dan hubungan baik dengan pemain badminton di seluruh dunia, kita percaya lantikan ini akan membantu usaha mempromosikan pelancongan Sabah yang begitu terjejas semasa pandemik Covid-19.

“Disamping itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk bekerjasama dengan bekas pemain badminton nombor satu dunia ini bagi menubuhkan Akademi Datuk Lee Chong Wei di Sabah,” katanya semasa majlis penyampaian sijil lantikan duta pelancongan Sabah, hari ini.

Langkah ini bukan hanya akan membantu mencungkil bakat anak-anak muda Sabah dalam sukan badminton tetapi juga, berpotensi menjadikan Sabah sebagai pusat latihan kepada pemain badminton luar negara.

Perkara itu dibincangkan semasa kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semalam.

Chong Wei dilantik sebagai duta pelancongan Sabah bagi tempoh Oktober 2021 hingga Disember 2022.

Sementara itu, Chong Wei berkata, lantikan sebagai duta pelancongan itu adalah satu penghormatan kepadanya dan beliau akan berusaha membawa masuk lebih ramai pelancong ke Sabah melalui promosi yang dilakukan bersama Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Katanya, beliau akan berkongsi lebih banyak maklumat mengenai destinasi pelancongan Sabah kepada rakan-rakan pemain badminton di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain, Chong Wei berkata, beliau turut menyambut baik keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik semula Rexy Mainaky sebagai timbalan pengarah kejurulatihan BAM.

Chong Wei tiba di Sabah pada Isnin bagi menerima darjah kebesaran sempena ulang tahun rasmi Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang ke-68 yang diadakan dalam satu majlis tertutup semalam. Beliau antara penerima anugerah Jaksa Pendamai (JP). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya