PETALING JAYA: Cabaran dalam era globalisasi serta ledakan internet yang meluas menjadi punca kepada berlakunya seks luar nikah dalam kalangan remaja pada hari ini seterusnya menyebabkan kes pembuangan bayi di Malaysia meningkat.
Cabaran tersebut juga dipengaruhi oleh naluri golongan remaja yang mahu mencuba dan menerokai perkara baru.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sifat mahu mencuba perkara baharu bukan satu tindakan yang salah, namun, pada masa kini terutamanya dalam era globalisasi, perkara seperti itu sangat sukar dibendung.
Beliau berkata, apabila ledakan internet sudah mencapai di hujung setiap jari remaja, mereka boleh mengakses di mana sahaja serta mencari pelbagai perkara yang mereka suka, maka, elemen tidak sihat terdedah kepada mereka.
“Apabila penggunaan internet terlalu meluas, mereka terdedah kepada elemen sedemikian dan bercampur pula sifat mahu mencuba perkara baru menyebabkan banyak kejadian yang tidak pernah berlaku ataupun yang sangat sukar kelihatan dalam kalangan remaja berlaku pada hari ini.
“Sifat mahu mencuba didorong dengan satu tarikan yang diperoleh daripada media sosial menyebabkan mereka rasa kenapa tidak untuk mencuba,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, sekurang-kurangnya purata sembilan kes buang bayi dilaporkan berlaku dalam sebulan sama ada ditemukan hidup atau mati sejak 2018 hingga September lalu.
Berdasarkan statistik direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 424 kes buang bayi dicatatkan di seluruh negara untuk tempoh tersebut.
Dr. Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, jika dikaitkan dengan institusi keluarga, ia tidak mempunyai korelasi yang berhubung.
Katanya, remaja yang terlibat dalam masalah ini bukan sahaja datang daripada keluarga porak-peranda, malah, sebahagian daripada mereka datang daripada keluarga yang baik dan mempunyai jawatan besar dalam komuniti.
“Kita mengharapkan interaksi sosial antara keluarga dan masyarakat amat penting untuk memberikan nasihat, pandangan dan penjelasan kepada remaja agar mereka tidak begitu terikut 100 peratus dengan agenda yang mereka perolehi daripada media sosial.
“Masyarakat tidak boleh mengharapkan badan tertentu sahaja seperti kementerian dan pejabat agama untuk melakukan tugasan ini. Semua pihak perlu memainkan peranan bermula daripada keluarga,” katanya.
Beliau mengharapkan apabila golongan remaja berinteraksi antara satu sama lain, mereka perlulah mencuba sebaik mungkin untuk tidak berinteraksi atau bercampur bersama kumpulan yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat.
Katanya, beliau mahu golongan remaja sebagai aset negara yang mempunyai jati diri kukuh terhadap perkembangan, kemajuan dan keharmonian dalam negara.-UTUSAN ONLINE










