Polis Thailand rampas lebih 200 kilogram syabu, tahan rakyat Malaysia

Polis Thailand rampas lebih 200 kilogram syabu, tahan rakyat Malaysia

LELAKI rakyat Malaysia dan wanita Thailand antara tiga ditahan selepas pihak berkuasa Thailand menemukan 213 kilogram syabu di dalam kenderaan mereka di Wilayah Chumphon, semalam. - IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand menahan seorang rakyat Malaysia dan dua warga Thailand termasuk seorang wanita serta merampas dadah jenis syabu seberat 213 kilogram dalam satu operasi khas di Wilayah Chumpon, semalam.

Komander Sub-divisyen 4 Biro Penindasan Narkotik Wilayah 9, Kolonel Polis Prasong Phansawat berkata, pasukan operasi turut menemukan tiga kanak-kanak berusia lapan dan 12 tahun dalam salah sebuah daripada dua kereta yang digunakan untuk membawa dadah berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga kanak-kanak itu adalah anak kepada warga Thailand yang dipercayai digunakan sebagai helah untuk mengurangkan syak wasangka pihak berkuasa bagi mengangkut dadah berkenaan.

Beliau berkata, suspek rakyat Malaysia itu berusia 28 tahun manakala dua warga Thai terbabit berusia 22 tahun dan 30 tahun.

“Hasil risikan mendedahkan sekumpulan lima anggota sindiket pengedaran dadah mengangkut syabu dari Bangkok ke Wilayah Narathiwat menggunakan dua kereta, termasuk sebuah yang bertindak sebagai peninjau.

“Anggota operasi memantau kedua-dua kenderaan itu yang bergerak dari Wilayah Prachuap Khiri Khan ke Wilayah Chumphon di Jalan Phetkasem menuju ke selatan. Usaha diselaras dengan Polis Lebuh Raya bagi memintas kedua-dua kenderaan terbabit di sebuah stesen minyak di Daerah Mueang, Chumpon kira-kira jam 2 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Prasong berkata, pemeriksaan mendapati wanita terbabit adalah pemandu manakala lelaki warga Malaysia dan tiga kanak-kanak sebagai penumpang.

“Berdasarkan penampilan, ia kelihatan seperti perjalanan satu keluarga, dipercayai sebagai percubaan untuk memperdaya polis. Pemeriksaan dalam bagasi mendedahkan tujuh guni syabu yang dibungkus dalam beg plastik jernih dengan kod QR dibalut dengan beg plastik hijau dan kuning, berjumlah 213 beg dan beratnya kira-kira 213 kilogram.

“Kami juha menahan kenderaan peninjau dan menahan seorang lelaki warga Thailand. Pemandu dan seorang penumpang lain melarikan diri. Polis telah mengenal pasti kedua-duanya warga Thailand dan mengeluarkan waran tangkap terhadap mereka,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendedahkan bahawa semua suspek mempunyai pertalian keluarga dan rakan yang ada kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan di tiga wilayah Selatan Thai serta Malaysia.

Beliau berkata, semua suspek akan didakwa atas tuduhan bersubahat untuk menjual narkotik Kategori 1, terlibat dalam aktiviti komersial yang menyebabkan pengedaran dadah dalam kalangan orang ramai, serta menjejaskan keselamatan negara atau keselamatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×