PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal mengaktifkan semula program My Best Buy (MBB) yang akan melibatkan lebih 287 lokasi di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, langkah tersebut turut didorong atas permintaan tinggi daripada masyarakat setempat serta golongan petani.
“Ramai bertanyakan melalui wadah media sosial agensi ini namun FAMA perlu menunggu sehingga masuk Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya menerusi kenyataan.
Hari ini, MBB beroperasi kembali di pekarangan ibu pejabat FAMA Point, Selayang, Selangor selepas tujuh bulan digantung pada Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pembukaan semula MBB yang melibatkan sejumlah 34 lot tersebut dirasmikan sendiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid.
Pelbagai acara menarik diadakan hari ini antaranya demonstrasi pelbagai masakan bersama artis jemputan, Baby Shima, promosi anak pokok, sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid memberi jaminan bahawa pembukaan MBB mengikut PPN pasca PKP akan mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
“Sambutan ternyata amat menggalakkan apabila masyarakat sekitar memang sedia maklum hari Jumaat minggu terakhir setiap bulan, FAMA akan membuat jualan MBB di sini,” jelasnya.
MBB merupakan inisiatif kementerian dengan kerjasama FAMA untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah menangani peningkatan kos sara hidup khususnya di bandar besar selain menjadi platform kepada ramai usahawan domestik bagi memasarkan produk berkualiti yang segar secara terus kepada pengguna dengan harga berpatutan daripada pasaran.
Bagaimanapun ujarnya, dalam usaha mengekang penularan Covid-19, petugas FAMA dan Jabatan Sukarelawan Malaysia sentiasa memantau pergerakan pengunjung di tapak MBB.
Sebelum PKP kali pertama dilaksanakan pada awal tahun lalu, FAMA merekodkan jualan yang mencecah RM14 juta sepanjang 2019 dengan mencatatkan hampir sejuta pengunjung.
MBB yang mula diperkenalkan kerajaan pada 2014 lalu, turut menyaksikan penglibatan seramai 2,746 usahawan dengan kekerapan operasi sebanyak 7,351 kali sehingga 2019 lepas.
Dalam tempoh enam tahun itu, hampir sembilan juta pengunjung dicatatkan membuat pembelian di MBB seluruh negara yang juga melonjak pendapatan peniaga sehingga 40 peratus. – UTUSAN










