Lebih 24 jam hilang, Maritim Malaysia gerakkan operasi kesan penyelam hilang - Utusan Malaysia

Lebih 24 jam hilang, Maritim Malaysia gerakkan operasi kesan penyelam hilang

MANGSA dikenali sebagai Roslan dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti selaman bersama rakan-rakannya di perairan Pulau Selat Kering di Klang, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang penyelam dilaporkan hilang selepas melakukan aktiviti selaman pada pukul 11.40 pagi semalam di perairan Pulau Selat Kering, di sini.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor yang menerima laporan terbabit menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa dan disambung semula pada pagi tadi.

Menurut, Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim, mangsa warga tempatan yang dikenali sebagai Roslan, 45, sebelum itu cuba dicari rakannya yang berada di tempat kejadian namun bot dinaiki mereka mengalami kerosakan.

“Setiba di lokasi kejadian, Maritim Malaysia menemukan bot mereka di tepi pantai Pulau Ketam namun tidak dapat menghampiri berikutan air yang surut.

“Kira-kira jam 6.20 petang semalam, bot mangsa RSYC 621 berjaya dibaiki oleh bot daripada Royal Yacth Club dan dibawa pulang ke Jeti Yacth Club. Sehingga kini, Maritim Malaysia masih meneruskan usaha pencarian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 0331760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN