Lanjut tempoh PRN lima hari, larang ahli politik masuk Melaka  - Utusan Malaysia

Lanjut tempoh PRN lima hari, larang ahli politik masuk Melaka 

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tempoh mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlu dilanjutkan kepada tiga hingga lima hari. 

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pengundi yang bakal mengundi nanti perlu mengikut alamat dan masa yang ditentukan dalam tempoh tersebut supaya risiko penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal pada tahap minimum. 

Selain itu, katanya, semua pemimpin parti politik yang tidak terlibat secara langsung dalam PRN di negeri itu perlu dikenakan larangan kemasukan ke Melaka di setiap laluan dengan syarat ketat, teratur dan tanpa gagal kecuali pengundi dari luar negeri dibenarkan berbuat demikian. 

“Hari penamaan calon mesti dilaksanakan secara maya atau mengehadkan hanya calon beserta seorang pencadang dan penyokong dibenarkan masuk ke kawasan pencalonan dan diwajibkan pulang tanpa rombongan pengiring biasa. 

“Keputusan pencalonan juga boleh dilakukan melalui pengumuman secara maya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Melaka tanpa keperluan mana-mana pihak atau rombongan menunggu di luar tempat pencalonan untuk tempoh biasa lebih sejam. 

“Perlu ada larangan berkempen dan ceramah umum biasa dengan mengadakan proses berkempen secara maya secara terus ke dewan di kawasan terbabit dengan kawalan ketat jumlah orang, penjarakan fizikal dan bantuan kempen secara langsung melalui televisyen daripada syarikat televisyen kerajaan atau swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, beliau berkata, adalah penting untuk SPR menitikberatkan kesamarataan pengundi yang terlibat dalam pilihan raya negeri nanti dengan mendapatkan bantuan daripada Kementerian Kesihatan melakukan prosedur yang ketat, teratur dan sempurna sepanjang tempoh PRN.  

“Semua perkara ini boleh dilaksanakan dengan cantuman kuasa di bawah  Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan budi bicara mutlak yang terletak pada SPR untuk laksanakan di bawah peraturan-peraturan pilihanraya tanpa menggubal mana-mana undang-undang khusus sama ada di Parlimen mahupun DUN,” katanya. 

SPR hari ini menetapkan 20 November ini sebagai tarikh pilihan raya negeri manakala hari penamaan calon pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November. 

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO) tumbang ekoran tidak lagi mendapat kepercayaan empat wakil rakyatnya. 

Wakil rakyat berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN