PORT DICKSON: Orang awam yang beriadah di pantai di sini, sekali lagi dikejutkan dengan kemunculan anak-anak penyu yang keluar dari sarangnya semalam.
Kejadian kira-kira pukul 11 pagi di Pantai Bagan Pinang di sini melibatkan 46 ekor anak penyu jenis karah.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, anak-anak penyu tersebut ditemukan seorang lelaki yang kemudian mengambil tindakan pantas dengan mengutip dan melepaskan anak penyu itu ke laut.
“Bertindak atas aduan tersebut, kami bersama seorang pemungut telur penyu berdaftar menjalankan pemeriksaan terhadap sarang tersebut dan menjumpai dua ekor anak penyu yang mati dalam pasir.
“Turut ditemukan 48 biji telur yang belum menetas. Semua telur seterusnya dibawa ke pusat pemuliharaan penyu di Glory Beach Resort di sini untuk dieramkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Halimi berkata, sehingga 23 Julai lalu, sebanyak 1,847 biji telur penyu yang dieram dan ditetaskan di Pusat Ikan Hiasan Port Dickson.
“Telur-telur ini dikutip oleh pemungut telur penyu berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di pantai-pantai di daerah ini dan dihantar ke Pusat Ikan Hiasan Port Dickson untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Pada 10 September lalu, sebanyak 32 ekor anak penyu karah yang baru menetas dan keluar dari sarang ditemukan sesat oleh orang awam sekitar pukul 2 pagi di Pantai Saujana sebelum dilepaskan semula ke laut. – UTUSAN ONLINE










