Kutipan e-waste sudah melepasi separuh sasaran ditetapkan

Kutipan e-waste sudah melepasi separuh sasaran ditetapkan

TUAN Ibrahim Tuan Man ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2021 secara maya hari ini. – FOTO/IHSAN JABATAN ALAM SEKITAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kutipan sisa elektronik atau e-waste yang dikitar semula tahun ini sudah melepasi lebih separuh daripada sasaran ditetapkan Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Pencapaian di luar jangkaan itu disahkan sendiri oleh menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap pada sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2021, hari ini.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, setakat bulan lalu, kita telah pun berjaya mengumpul sebanyak 432 tan e-waste daripada sasaran 800 tan untuk sepanjang tahun ini,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

HASN yang disambut sejak 1989 itu, pada tahun ini dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selaku tuan rumah acara peringkat kebangsaan secara maya.

Juga hadir menyaksikan program ialah Ketua Setiausaha Kementerian tersebut, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Pengumpulan e-waste tahun ini melibatkan 178 pusat kutipan dan 21 fasiliti pemulihan di seluruh negara dengan Selangor paling banyak di negara ini iaitu 58 premis yang disediakan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pencapaian kutipan itu sebagai amat membanggakan walaupun aktiviti tersebut dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mengikuti perkembangan program ini di beberapa negeri melalui wadah media sosial dan bersyukur sambutan sangat menggalakkan dalam kalangan komuniti setempat,” jelasnya.

Justeru ujarnya, kementerian menerusi JAS akan terus mempromosikan Hari Pengumpulan E-Waste setiap Sabtu minggu terakhir dan bertekad mampu mencapai sasaran akhir tahun ini.

Selain itu katanya, dua rancangan utama juga dilaksanakan sepanjang tahun ini antaranya Program ‘Plastic Buster‘ selaras Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna.

Tidak ketinggalan ialah Program 1 Rakan Alam Sekitar 1 Pokok yang dibuat bersama-sama agensi lain bagi menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun.

Tuan Ibrahim turut merakamkan penghargaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merujuk kementeriannya itu dalam agenda kemampanan alam nasional.

“Rancangan Malaysia Ke-12 malah beri kepercayaan kepada kementerian bagi menjayakan agenda pertumbuhan hijau, transformasi sektor air dan urus tadbir alam sekitar,” tambahnya.

Pada masa sama, pihaknya turut memfokuskan sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bagi memacu pendekatan ekonomi hijau sejajar misi usaha pembangunan rendah karbon.

Menyentuh Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Scotland mulai 31 Oktober ini, Malaysia bakal memuktamadkan pelbagai rundingan yang tertunggak sejak 2018.

Ini termasuk beberapa isu panas daripada Perjanjian Paris 2016 yang turut diratifikasi oleh Malaysia dengan negara ini telah diperuntukkan sebanyak 0.52 peratus pelepasan GHG global.

“Bagi sektor plastik, kita akan mengaplikasi konsep ekonomi kitaran semula daripada linear sebelum ini secara sukarela sebelum dijadikan skim mandatory pada 2030 kelak,” tegasnya.

Bagi tujuan itu katanya, kementerian bersama pemegang taruh sedia menubuhkan Malaysia Sustainable Plastic Alliance untuk mentransformasikan model ekonomi industri plastik negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini