Kuih bakar bekas tukang urut pasukan bola sepak laris - Utusan Malaysia

Kuih bakar bekas tukang urut pasukan bola sepak laris

MOHD. Zaidi Abdul Latib menyediakan kuih bakar tradisional jualannya ketika ditemui di Kedai Kuih Bakar Makwe di Kampung Simen, Lubok China, Rembau, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Selepas menamatkan khidmatnya sebagai seorang juruterapi urut pasukan bola sepak kebangsaan dan pasukan bolasepak Negeri Sembilan, Mohd. Zaidi Abdul Latib, 53, dari Kampung Simen, Lubok China, di sini mengambil keputusan untuk mengusahakan perniagaan kuih bakar secara tradisional untuk terus mencari rezeki.

Dia bersama isterinya, Nurasha Lexpy Rinyos, 47, nekad untuk menjalankan perniagaan tersebut berbekal modal sebanyak RM20,000 hasil simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ternyata, keputusan tersebut dilihat membuahkan hasil apabila, jualan kuih bakar tradisional dengan resipi istimewa keluarga itu begitu laris dan mendapat permintaan ramai sehingga ia boleh terjual kira-kira 100 keping sehari.

“Kami nekad untuk meneruskan pencarian rezeki dengan cara berniaga sejak lebih dua tahun lalu setelah saya menamatkan khidmatnya sebagai juruterapi urut pasukan bola sepak kebangsaan Negeri Sembilan pada tahun 2018.

“Pada mulanya, saya membuka kedai makan berasaskan produk salai dan juga kuih namun, saya lihat kuih bakar resepi tradisional ibu, Seriah Bujal, 76, lebih banyak mendapat permintaan.

“Lalu saya dan isteri fokus menjual kuih bakar dan membeli peralatan yang ditempah khas bagi penyediaan kuih bakar secara tradisional,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kedai Kuih Bakar MakWe di Kampung Simen, Jalan Panchang-Lubuk China, di sini semalam.

Mohd. Zaidi berkata, dia memang tidak menyangka jualan kuih bakar itu begitu laris sehingga ada kalanya mereka tidak menang tangan untuk menyediakan permintaan pelanggan.

“Kami mampu menyediakan sebanyak 70 keping kuih bakar yang dibakar hampir sejam dan pada waktu itu pelanggan memang sudah beratur dan menunggu,” katanya sambil memberitahu jualannya meningkat sekali ganda semasa cuti hujung minggu.

Sementara itu, dia memberitahu, penggunaan sabut dan tempurung kelapa mempunyai keistimewaan tersendiri kerana ia membangkitkan aroma kuih bakar.

“Kami akan pastikan hampir setiap hari kami mempunyai bekalan 10 guni sabut dan tempurung kelapa yang diperoleh dari kedai santan untuk digunakan sebagai penyedap aroma kuih bakar kami.

“Pemilihan kayu bakar juga penting iaitu hanya kayu pokok rambutan dan manggis sahaja yang digunakan,” katanya yang turut berhasrat mengembangkan lagi pasaran perniagaan kuih bakar tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.