ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyokong permintaan dibuat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk kerajaan mempertimbang kenaikan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram bagi membolehkan lebih ramai penoreh getah keluar dari garis kemiskinan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha ke arah itu perlu ada walaupun ia mungkin agak sukar atau mengambil masa untuk dilaksanakan memandangkan harga lantai semasa hanyalah RM2.50 sekilogram.
“Kita perkara itu mungkin sukar tetapi kerajaan perlu cari formula untuk berbuat demikian. Harga getah ini perlu berada pada tahap yang membolehkan masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil getah dapat bertahan.
“Kalau kata esok nak naik harga, itu mungkin takkan terjadi tetapi keprihatinan kerajaan perlu ada. Tak boleh hanya pekebun kecil saja melaungkan kenaikan harga ini tetapi kerajaan sendiri kena fikir macam mana cara atau kaedah dan tingkatkan harga getah,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Pengerusi RISDA, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif serta Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.
Mohd. Salim semalam meminta kerajaan supaya mempertimbang harga lantai baharu itu bermula Januari tahun depan memandangkan harga lantai getah sekerap ketika ini jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit, yang mencecah RM1,100 setiap tan sekali gus mewujudkan jurang besar antara pengusaha kedua-dua kebun.
Menurut Mohd. Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol, perkara itu telah dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini dengan beliau merayu agar Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi membuat pertimbangan terhadap perkara itu.
Mahdzir turut mengakui, jurang harga antara getah dan kelapa sawit turut mendorong banyak pekebun untuk membuat permohonan bagi menukar tanaman mereka sewaktu hendak membuat penanaman semula.
“Setakat ini ada undang-undang yang tidak membenarkan tindakan sedemikian dilakukan. Namun berikutan terdapat banyak permintaan, perkara itu akan kita bincangkan di peringkat kementerian sebelum langkah lanjut diambil,” katanya.
Sementara itu Mohd. Salim berkata, pihaknya bimbang akan ada lebih ramai pekebun yang berhasrat untuk menukar tanaman getah ke tanaman lain sekiranya harga tersebut tidak ditingkatkan.
“Jika itu berlaku, tak mustahil pengeluaran hasil getah negara akan merosot. Sekarang kita berada di tangga keenam pengeluaran getah dunia dan jika ramai dalam kalangan pekebun yang beralih ke tanaman lain, mungkin bekalan kita akan terus berkurang.
“Kos tanaman semula juga ketika ini meningkat daripada RM9,000 kepada RM13,000 di semenanjung serta RM14,000 di Sabah dan Sarawak. Semua ini antara faktor yang perlu dipertimbangkan kerajaan dalam mencari usaha meningkatkan harga lantai getah,” katanya. – UTUSAN ONLINE