400kg daun ketum ‘terapung’ gagal diseludup

400kg daun ketum ‘terapung’ gagal diseludup

DAUN ketum dianggarkan seberat 400kg yang dibuang ke laut oleh penyeludup berhampiran Pantai Leman di Kuala Kedah. - IHSAN MARITIM MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah mematahkan cubaan menyeludup keluar 40 bungkusan plastik hitam disyaki berisi daun ketum dianggarkan seberat 400 kilogram (kg), pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, daun ketum tersebut ditemukan terapung sekitar 0.3 batu nautika Pantai Leman, Kuala Kedah pada pukul 2.22 pagi.

“Hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin OP AMAN dan OP GUARD Bil.5/2025 mengesan pergerakan mencurigakan di kawasan operasi sebelum menjumpai 40 bungkusan plastik hitam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan-bungkusan tersebut dipercayai daun ketum yang dibungkus rapi dan mungkin dibuang ke laut setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, keseluruhan daun ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM60,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Tambahnya, penyeludupan daun ketum ke negara jiran dipercayai masih berlaku, namun tidak serancak sebelum ini berikutan negara itu telah membenarkan penanaman pokok ketum di sana.

“Bagaimanapun masih terdapat permintaan berikutan kualiti tinggi daun ketum dari Malaysia. Justeru kami akan terus komited untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan kegiatan jenayah maritim, khususnya yang melibatkan bahan terlarang,” katanya.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan berhubung aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN