Empat lagi anggota Maritim Malaysia direman minta suapan

Empat lagi anggota Maritim Malaysia direman minta suapan

DUA daripada empat anggota Maritim dibawa oleh pegawai SPRM bagi mendapatkan perintah reman susulan kes meminta suapan di Mahkamah Langkawi. -UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Empat lagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis bagi membantu siasatan berhubung kes suapan melibatkan nelayan di negeri tersebut.

Sumber berkata, keempat-empat mereka yang bertugas di Maritim Malaysia Zon Langkawi turut dipercayai meminta suapan daripada pengusaha bot sebanyak RM500 sehingga RM4,000 sebulan sebagai wang perlindungan.

Katanya, dua daripada mereka berpangkat Laskar Kanan Maritim, manakala masing-masing seorang Pegawai Waran II Maritim dan seorang Bintara Kanan Maritim.

“Rentetan daripada tangkapan awal dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis berhubung kes rasuah yang diterima secara bulanan daripada pengusaha dan pemilik bot di perairan Perlis.

“Empat lagi anggota Maritim Malaysia Zon Langkawi berusia lingkungan 30-an hingga 40-an yang melakukan kegiatan sama turut direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya di sini, hari ini.

Perintah reman terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret Langkawi, Helmi Ghani selepas mereka dibawa ke mahkamah tersebut, pagi ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 3 Februari lalu, dua anggota Maritim Malaysia Zon Kuala Perlis serta seorang individu berperanan sebagai orang tengah ditahan berhubung kes suapan dengan melakukan pemerasan terhadap nelayan sebagai wang perlindungan di perairan negeri itu.

Dua anggota berjawatan Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim gred T4 serta T5 itu ditahan di pejabat SPRM Perlis selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan dilakukan suspek terlibat.

Jumlah suapan yang diterima dianggarkan antara RM20,000 hingga RM30,000 setahun daripada seorang pemilik bot nelayan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.