JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengeluarkan 25 kompaun bernilai RM2,500 ke atas golongan peniaga sejak negeri ini beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga kelmarin.
Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, dalam tempoh sama pihaknya juga telah memeriksa 2,760 pengilang, pemborong dan peruncit di seluruh negeri.
Menurut beliau, 25 kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Timbang Sukat (ATS) 1972.
“Selain kompaun, kita turut mengeluarkan 30 notis kepada peniaga bagi tujuan siasatan lanjut untuk mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Hairul Anuar berkata, pihaknya juga mengeluarkan 26 kompaun ke atas pesalah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), membabitkan nilai kompaun RM129,500 sejak penguatkuasaan itu bermula 13 Mei tahun lalu sehingga kelmarin. – UTUSAN ONLINE