‘Kita terkesan pemimpin lompat, mengapa mahu bagi jadi calon?’ - PKR - Utusan Malaysia

‘Kita terkesan pemimpin lompat, mengapa mahu bagi jadi calon?’ – PKR

JIMMY PUAH WEE TSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: PKR Johor sama sekali tidak akan bersetuju sekiranya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menyebabkan tercetusnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu diberi tempat bertanding atas tiket parti berkenaan.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, akar umbi parti itu di Johor juga sudah menyatakan pandangan mereka agar mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) tidak memberi peluang kepada pemimpin terbabit.

Katanya, ahli parti tidak mahu PKR mencalarkan kredibiliti mereka dengan menerima ‘katak lompat’ berkenaan ke dalam parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“PKR adalah antara parti yang betul-betul terkesan dengan tindakan pemimpin politik yang melompat parti sebelum ini dan kita juga antara yang mendesak akta anti lompat parti dilaksanakan.

“Jika sekarang kita hendak terima orang yang seperti itu, ia bercanggah dengan pendirian dan apa yang kita pegang selama ini,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau di sini hari ini.

PRN Melaka diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 Oktober mengumumkan penamaan calon PRN Melaka pada 8 November diikuti undi awal pada 16 November sebelum hari mengundi ditetapkan pada 20 November.

Sementara itu, Wee Tse yang juga ADUN Bukit Batu menempelak keputusan kerajaan yang  melarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka serta berharap langkah itu dapat dikaji semula.

Katanya, kaedah penggunaan kempen secara dalam talian tidak praktikal memandangkan kira-kira 70 peratus penduduk di Melaka merupakan penduduk desa yang dibimbangi berdepan masalah akses internet untuk mengikut perjalanan kempen berkenaan.

“Kerajaan buat keputusan untuk adakan PRN, namun prosesnya tidak demokratik. Kita perlu berlaku adil kepada rakyat yang tidak mempunyai akses internet untuk kenal calon dan mendapat info terkini politik dari pemimpin parti.

“Sekiranya serba-serbi tidak boleh dibuat, baik tak payah PRN. Ada juga yang mempersoalkan kempen dan ceramah tak boleh dibuat, tapi masih boleh pergi pasar malam. Harap Kementerian Kesihatan pertimbang prosedur operasi standard (SOP) yang munasabah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×