Kit ujian kendiri Covid-19 dijual di pasar raya, kedai rangkaian bulan ini - Utusan Malaysia

Kit ujian kendiri Covid-19 dijual di pasar raya, kedai rangkaian bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bermula bulan ini, orang ramai boleh mendapatkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) di semua pasar raya dan kedai rangkaian dengan harga berpatutan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya sedang di peringkat akhir perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit terbabit seperti pasar raya dan kedai rangkaian.

Namun, katanya, mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit itu kepada masyarakat, maka perluasan penjualannya di pasar raya dan kedai rangkaian terpilih buat permulaan ini. 

“Usaha ini dijangka membolehkan orang ramai mendapatkan kit itu dengan lebih mudah dan dalam masa sama, kami amat menggalakkan peniaga menawarkan harga lebih rendah serta munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga baharu.

“Kementerian mengambil maklum bahawa terdapat lebih kurang  sembilan juta kit ujian kendiri berada dalam pasaran dan pihak industri terlibat membawa masuk dan mengeluarkan kit itu memberikan maklum balas positif supaya ia dapat dijual pada harga lebih rendah daripada harga runcit maksimum ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

ALEXANDER NANTA LINGGI

Alexander berkata, pihaknya yakin dengan usaha bersama antara pengeluar dan pengimport serta pihak pasar raya dan kedai rangkaian dapat membantu menstabilkan harga dalam usaha keluar daripada pandemik.

Sebelum ini, beliau memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan paras harga baharu bagi kit ujian kendiri dan kini sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian tersebut.

Sehari sebelum itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, harga kit ujian kendiri sedia ada akan diturunkan dalam masa terdekat.

“KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan berbincang untuk menurunkan harga tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN