Khidmat pengerusi, AJK JPKK di Pahang disambung - Utusan Malaysia

Khidmat pengerusi, AJK JPKK di Pahang disambung

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Khidmat pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang tamat pada 31 Disember ini disambung bagi penggal baharu 2022/2023 bermula 1 Januari depan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri semalam yang turut menetapkan penerusan khidmat tersebut bagaimanapun terkecuali atas kes-kes tertentu yang memerlukan penggantian.

Terdapat 543 JPKK di seluruh negeri ini dan setiap JPKK dianggotai masing-masing seorang pengerusi dan setiausaha yang dilantik dalam kalangan kepemimpinan UMNO setempat. 

Selain itu, ia turut terdiri daripada 14 ahli jawatankuasa (AJK) terdiri daripada ahli UMNO serta dalam kalangan ahli Pas parti bersama UMNO dalam gagasan politik Muafakat Nasional (MN) di negeri ini.

Dalam kenyataannya kepada pemberita hari ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan pengumuman awal itu, dapat memberi kelegaan dan kepastian tentang kedudukan pengerusi, setiausaha dan AJK JPKK di negeri ini.

“Apatah pula, mereka telah menunjukkan komitmen tinggi serta keberkesanan dalam melaksanakan peranan masing-masing semasa penggal 2020/2021.

“Saya berharap, mereka dapat meningkatkan lagi komitmen dan peranan masing-masing pada penggal baharu 2022/2023 yang dijangka tempoh lebih mencabar, agar rakyat yang diwakili di kampung masing-masing mendapat perkhidmatan sebaik-baiknya, insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN