ALOR GAJAH: UMNO Melaka mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadap dan angkuh melalui hantaran yang dimuat naik Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang secara terbuka meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, seluruh pemimpin dan ahli parti di negeri ini berdukacita apabila Setiausaha Publisiti DAP itu menjadikan isu titah adendum membabitkan bekas Perdana Menteri sebagai bahan sindiran di media sosial.
“Dalam satu kebersamaan yang telah dipupuk sepatutnya tiada satu ruang penghinaan dan cercaan dilakukan pemimpin DAP.
“UMNO tidak meraih simpati tetapi jangan kita dimaki bagi orang yang telah dihukum. Saya sangat-sangat berdukacita dengan apa yang telah dimuat naik oleh pemimpin DAP ini,” ujarnya kepada pemberita pada Majlis Hi Tea dan Doa Restu Meraikan Bakal Jemaah Umrah dan Ziarah Keagamaan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) 2026 serta Pelancaran MySAMB Aps – Mobile Apps SAMB di Villa Harmoni A’Famosa Resort, di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Menteri diminta mengulas Bee Yin pada Isnin lalu dilaporkan memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang bertujuan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis: “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini.”
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024. – UTUSAN










