Sekatan AS bebankan ekonomi Venezuela

Sekatan AS bebankan ekonomi Venezuela

PENYOKONG Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, mengambil bahagian dalam demonstrasi membantah tindakan sekatan Amerika Syarikat (AS) di Caracas, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CARACAS: Sekatan terhadap kapal tangki minyak Venezuela yang diumumkan pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka menakutkan syarikat perkapalan dan meningkatkan kadar tambang, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap ekonomi negara Amerika Selatan itu.

Bekas naib presiden syarikat minyak negara PDVSA, Juan Szabo berkata, eksport minyak Venezuela boleh merosot hampir separuh dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus menjejaskan pendapatan mata wang asing yang kritikal daripada jualan pasaran gelap negara itu.

Kesan sekatan tersebut dijangka membebankan lagi ekonomi Venezuela dan menambah tekanan terhadap Presiden Nicolas Maduro.

Pentadbiran Trump setakat ini berhati-hati untuk tidak terang-terangan menuntut Maduro berundur.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mendakwa beliau tidak menjangkakan ‘perang’ dengan Venezuela, Trump menegaskan hari-hari Maduro ‘sudah dihitung’.

16 Disember lalu, Trump mengumumkan sekatan kapal minyak yang disekat belayar ke dan dari Venezuela.

Beberapa hari sebelum itu, pasukan AS menahan M/T Skipper, sebuah kapal tangki ‘hantu’ yang membawa lebih sejuta tong minyak Venezuela dalam perjalanan ke Cuba.

Washington mendakwa, ia berniat mengekalkan minyak tersebut yang dianggarkan bernilai antara AS$50 hingga AS$100 juta (RM203 juta hingga RM406 juta).

PDVSA menegaskan eksportnya masih tidak terjejas oleh sekatan itu, tetapi menurut Szabo, keadaan kritikal kerana syarikat hanya mempunyai kapasiti simpanan minyak selama beberapa hari jika eksport dihentikan.

Penganalisis berkata, pela­buran besar yang diperlukan untuk membina semula platform minyak Venezuela yang runtuh mungkin tidak menarik bagi syarikat AS, memandangkan bekalan global stabil dan harga yang rendah.

Menurut pakar ekonomi Venezuela, Carlos Mendoza Potella, tindakan Washington ‘bu­kan semata-mata tentang minyak’ tetapi lebih kepada menuntut haknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN