PETALING JAYA: Keterangan Naib Ketua Bersatu Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim akan diambil dalam masa terdekat berhubung kenyataan berbaur perkauman terhadap seorang atlet badminton negara.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpu,r Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kertas siasatan berhubung kes dibuka sebaik sahaja menerima satu laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Ahad lalu.
“Kita hanya menerima satu laporan di Kontinjen Kuala Lumpur membabitkan isu berkenaan.
“Sudah tentu kita akan panggil ahli politik berkenaan untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung kenyataan berbaur perkauman daripada seorang ahli politik terhadap atlet badminton negara.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim memberitahu, siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kenyataan berbaur perkauman berkenaan dimuat naik pemilik akaun Facebook menggunakan nama Borhan Che Rahim terhadap atlet badminton negara, S. Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas kepada pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland, baru-baru ini.
Hantaran berkenaan menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan.
Sementara itu, Borhanuddin dilaporkan menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia selepas menyedari melakukan kesalahan besar.
Ahli politik itu turut sedia melepaskan jawatan Naib Ketua Bersatu Pasir Puteh bagi menjernihkan keadaan. – UTUSAN ONLINE