PUTRAJAYA: Sebuah lagi perkampungan masyarakat Orang Asli di Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok melibatkan Kampung Sungai Kelang, Mukim Batu Talam, Daerah Raub.
Perkampungan terpencil dalam kalangan suku kaum Mok yang diduduki lebih 300 orang itu mula dikesan mencipta kluster komuniti hari ini berpunca daripada seorang warga tempatan tidak bergejala dan dipercayai kerana pergerakan penduduk dari lokasi yang ada banyak kes aktif Covid-19 ke kawasan kampung berkenaan.
Punca sebenar jangkitan masih lagi dalam siasatan sebagaimana dilaporkan Jabatan Kesihatan Pahang dan setakat ini seramai 143 individu kontak rapat dikenal pasti dengan 25 kes positif dikesan daripada saringan bersasar tersebut.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, bagaimanapun tiada kawasan dilanjutkan lagi PKPD, malah satu lokaliti di Sabah akan berakhir sekatan esok seperti dijadualkan MKN.
Lokaliti tersebut jelas Rodzi, hanya melibatkan Taman Pantai Lok Kawi, Daerah Papar, Bahagian Pantai Barat yang sudah pun lama dilaksanakan PKPD pada 7 September lalu. – UTUSAN ONLINE