Kes AKSB terpencil, Kelantan masih negeri bebas rasuah - Utusan Malaysia

Kes AKSB terpencil, Kelantan masih negeri bebas rasuah

MOHD. Amar Nik Abdullah dalam Program Bicara Siasah: Tamadun Kelantan Pasca 31 Tahun Membangun Bersama yang disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Imej bersih kerajaan negeri ini yang sifar rasuah sejak Pas mengambil alih pentadbiran 31 tahun lalu, tidak terjejas biarpun Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) terpalit dengan isu salah laku tersebut, Julai lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sebaliknya menyifatkan, isu yang menyaksikan beberapa bekas pegawai kanan AKSB ditahan reman dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya kes terpencil.

Malah, kata beliau, secara umumnya masih banyak perkara boleh dibanggakan kerajaan negeri, terutama dari segi peningkatan kefahaman dan penghayatan terhadap dasar ‘Membangun Bersama Islam’ dalam tempoh tiga dekad ini.

“Dari sudut pentadbiran, terutama aspek rasuah, dengan keberkatan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kesedaran kakitangan dan kerjasama SPRM dalam memberi pandangan dan teguran, Alhamdulillah, kita masih berjaya mengekalkan rekod bersih Kerajaan Kelantan.

“Cuma baru-baru ini, beberapa pegawai AKSB ditahan (SPRM) tetapi kalau kita ambil bahasa mudah, ia sebenarnya kes yang terpencil. Secara umum dalam 30 tahun ini, kita berjaya menonjolkan satu pentadbiran dengan imej bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bicara Siasah: Tamadun Kelantan Pasca 31 Tahun Membangun Bersama yang turut disertai Ketua Kluster Kajian Tadbir Urus dan Dasar Awam Pusat Inovasi Sosial Universiti Teknologi Petronas (UTP) secara dalam talian, malam tadi.

Terdahulu, ketika sesi awal bicara tersebut, Mohd. Amar yang juga Naib Presiden Pas mengakui dalam tempoh tiga dekad ini, Kelantan jauh ketinggalan dari segi pembangunan fizikal jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

“Tetapi apabila bercakap dalam konteks tamadun, dalam aspek spiritual dan pemikiran yang ada di Kelantan dalam masa 30 tahun ini, pencapaian besar Pas di Kelantan adalah perubahan minda masyarakat terhadap agama.

“Sebab dulu sebelum ada kerajaan ini pada 1990, orang tidak yakin Islam boleh jadi satu dasar sebuah pentadbiran negeri ketika di zaman moden dan orang tak fikir alim ulama atau tok lebai boleh jadi pemimpin nombor satu negeri,” katanya.

Dalam aspek fizikal pula, kata beliau, banyak pembangunan dirancang atau sedang dilaksanakan di seluruh negeri ini sejak Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Kalau rakyat terus beri sokongan pada pilihan raya supaya kita kekal jadi kerajaan di Putrajaya, dengan kerusi lebih banyak, maka banyak lagi benda sebenarnya yang boleh kita buat di Kelantan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya