JOHOR BAHRU: Polis Johor akan mendapatkan kerjasama polis Singapura dalam usaha menyelesaikan kejadian ugutan dan simbah cat membabitkan Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Chua Jian Boon, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bantuan pihak berkuasa negara itu perlu kerana suspek yang melakukan ugutan menggunakan nombor telefon dan akaun bank republik itu.
“Kita sedang mengesan dua peminjam yang berada di Singapura dan perlu sedar dalam kes melibatkan ah long ini mereka menggunakan nombor telefon dan juga akaun bank di Singapura.
“Jadi kita terpaksa minta bantuan negara itu sebab ia bukan kes mudah (straight forward), ramai pertikai kenapa kita tidak selesai dengan cepat, tetapi perlu tahu modus operandi kes ini dengan teliti,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan kediaman dan kenderaan milik Jian Boon di Kulai telah disimbah cat merah kira-kira pukul 11.15 malam. Ugutan jenayah itu dipercayai berlaku selepas Jian Boon terlibat membantu seorang mangsa yang diburu syarikat pengutip hutang.
Tambah Ayob Khan, pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada tiga saksi kejadian yang mengakui melihat individu tidak dikenali dalam jenayah tersebut.
Dalam pada itu, polis mengenakan kompaun berjumlah RM620,000 dalam dua serbuan terhadap pusat hiburan yang melanggar peraturan kerana beroperasi dalam tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Taman Mount Austin dan Taman Cahaya Kota Puteri, Masai.
Menurut beliau, serbuan pertama melibatkan seramai 23 individu termasuk seorang lelaki penjaga premis yang dikenakan kompaun berjumlah RM135,000 dengan lelaki itu dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 sementara 22 individu lain yang merupakan pelanggan dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang.
“Serbuan kedua pula melibatkan pemberian kompaun kepada seramai 96 individu termasuk seorang wanita yang bertindak selaku penjaga premis dengan nilai keseluruhan RM485,000.
“Malah, seramai lima individu ditahan termasuk wanita terbabit, tiga wanita warga asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan seorang lelaki warga tempatan kerana memiliki rekod dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98; Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan sejak 1 Januari hingga semalam, polis telah menjalankan 79 serbuan premis hiburan dengan 404 individu ditahan serta merampas wang tunai berjumlah RM107,535 dan melakukan 76 tindakan saman kerana langgar syarat operasi. – UTUSAN










