Kerajaan sahkan harga baja, racun meningkat - Alexander

Kerajaan sahkan harga baja, racun meningkat

MOHD. Johan Musa menunjukkan tanaman pisang yang diusahakannya di Taman Melur, Teluk Intan. - FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengakui kenaikan harga baja dan racun serangga ini yang menekan pe­ngusaha dan pekebun di seluruh negara ketika.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bagaimanapun akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya terdapat elemen pencatutan kepada harga yang dikenakan.

ALEXANDER NANTA LINGGI

Katanya, pihaknya sentiasa memantau sebarang kenaikan harga termasuklah yang melibatkan bahan pertanian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sedar mengenai isu harga baja dan racun serangga yang dilaporkan di akhbar-akhbar ketika ini dan kita akan menyiasat serta mengenakan kompaun jika ada bukti bahawa harga yang dikenakan mempunyai elemen pencatutan.

“Sebabnya harga tidak dikawal, bagaimanapun kita akan mengesan dan bertindak jika ada aduan dan membuat siasatan terhadap harga-harga tersebut berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011),” katanya.

Pada masa sama, Alexander juga mencadangkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan supaya memantau masalah kenaikan harga baja dan racun serangga.

“Mereka perlu mengambil tindakan sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas bekalan makanan dan input pertanian,” katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai kenaikan kenaikan harga baja dan racun serangga sejak sebulan lalu yang menghimpit kira-kira 400,000 atau 80 peratus daripada 500,000 peladang di seluruh negara.

Peningkatan harga itu bukan sahaja menyebabkan produktiviti hasil tani terjejas tetapi mengurangkan pendapatan pekebun apabila input menghasilkan projek pertanian lebih mahal daripada produk dikeluarkan.

Malah, kenaikan kos baja dan juga racun secara mendadak itu sangat membebankan para pekebun kecil, peladang dan petani sehingga menyebabkan jumlah kutipan hasil perladangan berkurangan.

Sementara itu di BATU PAHAT, Johor, Pengerusi Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Yong Peng Johor, Cheng Pai Hoe berkata, kenaikan input pertanian terutamanya racun dan baja sehingga 40 peratus menjejaskan kira-kira 300 pekebun sayur di Yong Peng, sehingga ada dalam kalangan mereka terpaksa menanggung kerugian tinggi apabila hasil tidak dapat dipasarkan.

Katanya, kenaikan baja daripada RM110 kepada RM150 bagi setiap beg membebankan golongan pekebun di kawasan itu.

Malah, harga racun bagi setiap tong berisi 20 liter bahan itu juga naik daripada RM230 kepada RM330 tanpa mengira jenama.

“Ramai ahli persatuan kami merungut kerana mereka sudahlah terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 kini terpaksa berhadapan pula isu kenaikan input pertanian yang merupakan perkara utama dalam penanaman sayur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Di TELUK INTAN, Perak pula, pemilik kebun pisang dan kebun sayur, Mohd. Johan Musa, 36, berkata, harga baja untuk tanaman pisang sebelum ini RM132 bagi setiap seguni, namun, kini, naik sehingga RM160 bagi berat yang sama.

Menurutnya, turut mengalami kenaikan ialah racun rumput iaitu daripada RM60 seliter kepada RM70 seliter.

Katanya, masalah itu membebankan pekebun kecil sepertinya dan pekebun sayur lain di daerah ini.

“Saya menanam 4.8 hektar pisang dan sayur-sayuran seperti petola, terung, limau kasturi dan limau yang memerlukan baja dan racun serangga untuk memastikan hasil yang maksimum.

“Namun apabila harga dua bahan itu mengalami kenaikan, saya terpaksa mengeluarkan kos yang lebih, ini sudah tentu membebankan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×