PETALING JAYA: Kerajaan bercadang untuk memberikan layanan cukai sama rata sebagai inisiatif kedua langkah kemapanan hasil dan selaras dengan amalan di peringkat antarabangsa.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, justeru kadar duti setem nota kontrak dinaikkan daripada 0.1 peratus kepada 0.15 peratus dan had duti setem RM200 setiap nota kontrak dimansuhkan.
Katanya, pada masa yang sama, aktiviti pembrokeran dagangan saham tersenarai tidak lagi dikenakan cukai perkhidmatan.
“Cukai pendapatan dikenakan kepada pemastautin di Malaysia ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan diterima di Malaysia mulai 1 Januari 2022.
“Selain itu, cukai jualan dikenakan ke atas barang bernilai rendah dari luar negara yang dijual oleh peniaga dalam talian dan dihantar kepada pengguna di Malaysia melalui perkhidmatan kurier udara,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini.
Tengku Zafrul berkata, cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penghantaran barang yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan termasuk platform e-Dagang kecuali perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman serta perkhidmatan logistik.
“Program Khas Pengakuan Sukarela Jabatan Kastam Diraja Malaysia diperkenalkan secara berfasa dengan insentif remisi penalti sebanyak 100 peratus bagi fasa pertama dan remisi penalti sebanyak 50 peratus bagi fasa kedua. Remisi cukai juga akan dipertimbangkan bagi kes tertentu.
“Sijil Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia akan dijadikan sebahagian prasyarat untuk syarikat menyertai perolehan kerajaan bermula 1 Januari 2023 dan penggunaan nombor pengenalan cukai (atau TIN) akan dilaksanakan mulai tahun 2022 bagi memperluaskan asas cukai pendapatan,” katanya.










