KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) sudah menjangka keputusan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi untuk keluar daripada parti sejak beberapa hari lalu.
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan, Azhar Matussin berkata, tindakan itu tidak wajar diterima kerana Mohamaddin sudah membelakangkan mandat yang rakyat berikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September tahun lalu.
“Mohamaddin lari meninggalkan rakan-rakan seperjuangan dan bersekongkol dengan pihak yang dulu menghentamnya. Apa-apa pun, saya percaya rakyat tahu menilai pemimpin yang tidak berpendirian.
“Di peringkat parti, kami akan terus kekal bersama-sama kepimpinan Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tentang keputusan Mohamaddin yang mengumumkan keluar daripada Warisan pada hari ini.
Mohamaddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama memberi alasan ingin memajukan kawasan Parlimen Lahad Datu serta Dewan Undangan Negeri ( DUN) Segama, yang menurutnya tidak mempunyai apa-apa pembangunan.
Azhar, yang juga ADUN Darau berkata, setakat ini beliau yakin rakan-rakan ADUN lain tetap fokus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19 sekali gus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan yang diwakili.
“Kita tetap fokus membantu rakyat yang memerlukan perkhidmatan wakil rakyat di kawasan mereka. Tidak perlu lompat parti untuk fokus berkhidmat di kawasan diwakili kerana kerajaan sedia ada seharusnya memastikan pembangunan dilakukan secara sama rata.
“Kita tidak seharusnya lari daripada pendirian asal untuk kekal bersama Warisan selepas dipilih sebagai wakil rakyat,” katanya.
Tindakan Mohamaddin keluar daripada Warisan menyebabkan parti itu kehilangan satu kerusi Parlimen dan satu lagi kerusi DUN. Ia menyebabkan Warisan kini memiliki tujuh kerusi Parlimen serta 19 kerusi DUN.
Sebelum ini, dua ADUN Warisan turut memutuskan meninggalkan parti bagi menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai parti lain. Mereka ialah ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar pada 25 Februari lalu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 5 April.
Sementara itu, ADUN Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob pula mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas pada 8 Oktober lalu.











