Kenderaan di LPT2 dijangka meningkat sehingga 45,000 sehari - Utusan Malaysia

Kenderaan di LPT2 dijangka meningkat sehingga 45,000 sehari

PASUKAN LPT2 Ronda sedia membantu para pengguna di sepanjang 184 kilometer laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) apabila aktiviti rentas negeri dibenarkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dijangka meningkat antara 38,000 hingga 45,000 buah setiap hari sekiranya aktiviti rentas negeri dibenarkan. 

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2, Suhaimi Samat berkata, pihaknya termasuk pasukan petugas di lapangan sudah bersiap-siaga dengan pertambahan kenderaan di laluan sepanjang 184 kilometer dari Jabor ke Kuala Terengganu itu.

Katanya, keselamatan dan keselesaan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya, maka anggota LPT2 Ronda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya di samping kakitangan perkhidmatan pelanggan sedia berkhidmat pada bila-bila masa diperlukan.

“LPT2 menjangkakan ramai akan merebut peluang yang sekian lama ditunggu-tunggu untuk melancong dan berhubung semula dengan keluarga serta sahabat handai di negeri-negeri lain.

“Sehubungan itu, semua 10 plaza tol di LPT2 bersedia menyambut pelanggan lebuh raya kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Suhaimi mengingatkan pengguna agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mempamerkan status MySejahtera, memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan menggunakan cecair pembersih tangan ketika berhenti atau berehat di hentian rehat dan rawat (R&R)  di LPT2.

Katanya, bagi melancarkan aliran trafik, pihaknya juga akan bekerjasama dengan polis di samping Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam perkembangan sama, katanya, semua kemudahan awam di lima R&R dan hentian sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang.

“Tahap kebersihan akan terus dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka selama 24 jam sehari,” katanya.

Bagi pengguna yang ingin menambah nilai kad Touch ‘n Go, sebanyak 16 kiosk disediakan di sepanjang LPT2 di samping di stesen minyak terpilih dan gerai di R&R Perasing. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN