Kebenaran rentas negeri bantu pulih pelancongan domestik - Utusan Malaysia

Kebenaran rentas negeri bantu pulih pelancongan domestik

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebenaran pergerakan rentas negeri yang bermula hari ini bagi individu lengkap dua dos vaksin, dijangka dapat menolong semula sektor pelancongan domestik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan khabar gembira yang telah lama dinantikan seluruh penggiat industri tempatan berkenaan.

Beliau berkata, usaha itu dapat menjamin kelangsungan hidup ramai pekerja dalam rantaian sektor pelancongan yang terjejas akibat impak penularan wabak.

“Justeru, bagi memulihkan kembali sektor ini, salah satu fokus digariskan dalam Pelan Pemulihan Pelancongan oleh kementerian ialah mengembalikan keyakinan para pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran itu termasuk aktiviti pelancongan tanpa perlu lagi memohon permit kebenaran daripada pihak polis termasuk anak-anak bawah umur 18 tahun yang boleh turut serta bersama-sama ibu bapa atau penjaga masing-masing yang telah pun lengkap menerima suntikan imunisasi Covid-19.

Kerajaan juga bersetuju membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui kelulusan permohonan MyTravelPass yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan serta perlu menjalani tempoh kuarantin wajib sebaik mereka pulang ke tanah air.

Nancy berkata, antara usaha bagi mengembalikan keyakinan pelancong ialah meliputi tahap keselamatan bebas pandemik di sesuatu destinasi percutian, selain memastikan sektor ini mampu menjana semula pendapatan pemain secara berterusan.

Beliau dipercayai merujuk kejayaan Program Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi sejak 16 September lalu yang menjadi model pergerakan rentas negeri bagi individu lengkap divaksin.

Pihak kementerian itu jelas beliau, bahkan akan terus merangka pelbagai kempen promosi yang lebih agresif dan strategik bagi merancakkan jaringan sektor pelancongan seluruh negara.

 Pada masa sama, kementerian tersebut ingin menggalakkan pengunjung yang mahu melakukan aktiviti pelancongan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan demi membantu kerajaan memutuskan rantaian dan mengawal penularan pandemik dalam kalangan masyarakat setempat.

 Sepanjang tahun lepas, pendapatan industri pelancongan domestik merekodkan kemerosotan 71.2 peratus daripada RM182.1 bilion dicatatkan pada 2019 lalu kepada hanya RM52.4 bilion.

 Kejatuhan terburuk dalam sejarah itu disebabkan sekatan perjalanan bagi mengekang jangkitan Covid-19 selain penutupan pintu sempadan antarabangsa untuk kemasukan pelancong asing.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN