(KEMAS KINI) 'Kalau minat jadi KM, jumpa pucuk pimpinan' - Sulaiman - Utusan Malaysia

(KEMAS KINI) ‘Kalau minat jadi KM, jumpa pucuk pimpinan’ – Sulaiman

SULAIMAN Md. Ali dalam satu sidang akhbar di Kampung Ayer Merbau, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Tiada keperluan untuk berjumpa dengan empat ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri diterajui UMNO, tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Beliau berkata, pihak yang berminat untuk menjadi Ketua Menteri boleh tampil  dan berjumpa sendiri dengan kepemimpinan tertinggi.

“Kenapa saya perlu jumpa? Kalau hendak jadi Ketua Menteri sila datang jumpa kepimpinan tertinggi.

“Jika pihak sebelah sana (Pakatan Harapan) berasakan sudah mendapat akuan bersumpah (SD) yang mencukupi, teruskan. Setakat ini kerajaan negeri masih berfungsi seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas program lawatan ke Kampung Ayer Merbau di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kerajaan Negeri Melaka dikatakan bergolak ekoran dakwaan ADUN daripada kerajaan difahamkan mahu meninggalkan blok tersebut.

Ekoran perkembangan itu, kerajaan negeri yang dibentuk hasil gabungan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil rakyat Bebas pada Mac tahun lalu kini berada dalam krisis.

Sementara itu, mengenai gerakan ADUN kerajaan menjatuhkannya, Sulaiman memaklumkan, beliau tidak mengetahui tentang perkara tersebut dan enggan mengulas lanjut.

“Saya masih berdiri di sini, tapi tengoklah esok saya ada lagi atau tidak. Ini perkara biasa dalam politik. Selagi diberi mandat menerajui kerajaan, saya akan uruskan seperti biasa.

“Saya malas hendak cakap tentang politik sepanjang masa kerana fokus kini adalah untuk membantu rakyat. Mari bersama-sama dengan saya bangunkan Melaka. Bila tiba masanya, kita ‘beperang’ di Pilihan Raya Umum Ke-15,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN