KUANTAN: Polis menahan tujuh anggotanya termasuk dua pegawai kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Temerloh, dekat sini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 2.15 pagi kelmarin di sebuah kedai di Mentakab, dua wanita warganegara Thailand dan seorang lelaki rakyat tempatan turut ditahan atas kesalahan sama.
Difahamkan, kesemua pegawai dan anggota polis tersebut bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka yang ditahan berusia antara 20 tahun hingga 40-an kini direman untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan sendiri yang mana boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 jika sabit kesalahan,” katanya.
Yahaya berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang salah laku dan sekiranya didapati bersalah, penyelia mereka juga akan dikenakan tindakan. – UTUSAN











